KIST tawar 500 tempat kepada lepasan sekolah

0

Category : pendidikan

KOTA BHARU: Kolej sains kesihatan terbesar di Pantai Timur, KIST, menawarkan 500 tempat kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang berminat melanjutkan pengajian dalam bidang kritikal di kolej itu bagi sesi pengajian bermula April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (Pengambilan Graduan) KIST, Noor Haslina Abdullah, berkata peluang itu dibuka kepada pelajar dari seluruh negara yang masih berusia bawah usia 25 tahun dan terbuka kepada semua aliran pengajian, sama ada sains, sastera, teknikal dan agama, asalkan mempunyai sekurang-kurangnya tiga kredit dan lulus subjek Matematik dan Bahasa Inggeris.
Beliau berkata, pihaknya kini dalam rangka promosi di seluruh negara menerusi penyertaan dalam Karnival Jom Masuk U bagi menawarkan peluang melanjutkan pelajaran itu kepada pelajar yang berminat. “KIST ketika ini menawarkan 14 bidang pengajian peringkat diploma termasuk Kejururawatan, Pembantu Perubatan @ Penolong Pegawai Perubatan, Diagnostik Radiografi (X-ray), Psikologi dan Syariah yang mempunyai pengiktirafan Lembaga Akreditasi Malaysia (MQA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Kami kini dalam rangka promosi mendaftar pelajar di seluruh negara dalam usaha meningkatkan lagi tenaga mahir dalam pelbagai bidang sains kesihatan dengan menyasarkan kira-kira 500 pelajar dari seluruh negara bagi sesi pembelajaran April ini.

“Kami menetapkan kemasukan pelajar bawah usia 25 tahun bagi kerana ia memainkan peranan dalam menentukan peluang kerjaya masa depan mereka. Semua pelajar KIST mendapat pembiayaan pengajian yang diuruskan pengurusan kolej sebagai kemudahan kepada mereka dan tidak merunsingkan ibu bapa masing-masing,” katanya di Karnival Jom Masuk U anjuran Kementerian Pengajian Tinggi di Kelantan Trade Centre (KTC) di sini, semalam.

Karnival dua hari yang berakhir hari ini, disertai semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta dari seluruh negara. KIST yang mempunyai dua kampus iaitu Kampus Ibnu Sina di Bachok dan Kampus Cawangan Terengganu di Kuala Berang, ketika ini menempatkan kira-kira 5,000 pelajar dari seluruh negara.
Selain pelajar yang tampil memohon secara terus untuk memasuki KIST, kolej itu juga menempatkan kira-kira 500 pelajar tajaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi program latihan luaran merangkumi pengajian bidang Pembantu Perubatan, Kejururawatan, Pembantu Farmasi, x-Ray, Fisioterapi serta sijil Kesihatan Awam.

Noor Haslina berkata, mulai tahun ini, semua pelajar Tahun Pertama yang memasuki KIST layak mendapat kemudahan elaun sebanyak RM200 sebulan sepanjang semester pertama sejurus pembiayaan pengajian diluluskan yang dibayar dalam bentuk dompet elektronik (e-Purse).

“Kemudahan e-Purse bagi semester kedua dan selanjutnya hingga setiap pelajar tamat pengajian akan bergantung kepada keputusan peperiksaan akhir setiap semester yang diduduki pelajar. Keputusan CGPA 3.0 ke atas, akan melayakkan setiap pelajar terbabit menikmati elaun e-Purse pada semester berikutnya,” katanya.

Katanya, yuran pengajian yang ditawarkan KIST dalam bidang sains kesihatan ketika ini juga kira-kira 30 peratus lebih rendah berbanding institusi pengajian tinggi swasta lain yang menawarkan kursus sama. //bharian

Post a comment

[ Online : 1017 hari. ]