KUALA TERENGGANU: Gara-gara putus tunang, seorang lelaki terpaksa menerima enam jahitan di kepala selepas dihentak dengan sepasang gari oleh abang bekas tunangnya dalam satu pergaduhan di Dungun, awal pagi semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supt K Manoharan, berkata kejadian berlaku selepas mangsa yang berasal dari Kemaman dilaporkan datang menemui bekas tunangnya yang berumur 21 tahun pada 12.01 pagi di sebuah kedai makan di Kampung Batu 7, Dungun.
“Mangsa yang berumur 27 tahun datang untuk memulangkan kad pengenalan bekas tunangnya sebelum berlaku sedikit pertengkaran dengan abang wanita itu berikutan rasa tidak puas hati dengan tindakan mangsa memutuskan pertunangan tersebut.
“Dalam pergaduhan itu mangsa telah dipukul dengan gari, mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Kemaman. Dia menerima enam jahitan di kepala,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Manoharan berkata, selain mangsa, sepupu kepada kepada bekas tunang mangsa turut mengalami kecederaan ketika cuba meleraikan pergaduhan itu.
Berikutan kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat oleh wanita berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun pada jam 2 petang hari yang sama.
Beliau berkata, polis kini mencari suspek yang berumur lingkungan 20-an dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata. – Bernama






