MELAKA: Keluarga pemuda berusia 18 tahun yang dipercayai mati dibunuh sebelum mayatnya ditemui disembunyikan dalam but sebuah kereta, di sini awal pagi kelmarin, percaya kematian mangsa ada kaitan dengan masalah hubungan cinta dengan kekasih seusianya.
Mayat Yap Wai Seng, ditemui polis dalam but sebuah Proton Saga ketika mengadakan satu sekatan jalan raya di Jalan Lebuh Tun Razak, Ayer Keroh kira-kira jam 1.15 pagi kelmarin.
Nenek mangsa, Law Koon Chan, 60, berkata cucunya yang bekerja sebagai mekanik sambilan ada menjalin hubungan cinta dengan seorang gadis seusianya selama sebulan sebelum gadis berkenaan mengambil keputusan berpisah kira-kira tiga minggu lalu. “Yap ada memberitahu saya tiga minggu lalu yang dia dan kekasihnya sudah putus hubungan. Sebelum ini, dia ada membawa gadis itu menemui saya sempena Tahun Baru Cina di rumah saya di Krubong, dekat sini.
“Pada pertemuan itu, saya bertanyakan hubungan mereka, namun kekasihnya hanya memberitahu Yap seorang teman lelaki yang baik, cuma gadis itu membuat keputusan untuk berpisah,” katanya ketika ditemui bersama suaminya, Lee Thong, 65, di sebuah Tokong Cina, di sini semalam.
Sementara itu, sepupu mangsa, Wong Li Lian, 25, berkata pihak hospital sudah menyerahkan laporan bedah siasat kepada mereka yang mengesahkan punca kematian Yap disebabkan kecederaan kerana dipukul dengan objek tumpul di kepala dan lemas akibat dijerut dipercayai dengan tali kasut.
Wong mendakwa, saksi kejadian juga ada memaklumkan melihat Yap diterajang sebaik dia tiba dengan sebuah motosikal berhampiran kawasan semak dekat Semabok, di sini oleh sekurang-kurang empat penyerang yang menggunakan dua topi keledar termasuk milik mangsa.
“Saya percaya kematiannya ada kaitan dengan masalah hubungan cinta dengan kekasihnya itu. Sebelum ini, Yap pernah memberitahu saya kekasihnya sudah ada teman lelaki baru dan saya pernah melarangnya pergi berseorangan menemui abang bekas kekasihnya itu,” katanya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman, ketika dihubungi, berkata setakat ini, enam suspek termasuk bekas kekasih mangsa sudah direman untuk membantu siasatan kes berkenaan.
“Gadis berkenaan bersama abangnya berusia 22 tahun ditahan pagi semalam (kelmarin) untuk membantu siasatan kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Awal pagi kelmarin, polis menemui mayat Yap dari Taman Seri Krubong, dekat sini lengkap berpakaian disembunyikan dalam but sebuah kereta selepas pemandunya memberhentikan kenderaan itu kira-kira 150 meter dari sekatan jalan raya dekat Jalan Lebuh Tun Razak. //bharian






