Produk seni pengusaha dari Sarawak, Sudirman Anak Gindau, 35, itu sama nilainya dengan wang pendahuluan pembelian rumah atau harga sebuah kereta terpakai.
Malah ia antara rekaan paling mahal pernah dihasilkan sejak pengukir itu terbabit dalam dunia ukiran lima tahun lalu. Antara faktor yang membuatkan hasil seni itu mahal ialah nilai estetika selain diperbuat daripada kayu Belian Air yang hanya terdapat di Kepulauan Borneo.
“Kayu ini juga hampir pupus dan makin sukar untuk didapati. Ia dinamakan kayu Belian Air kerana tahan air mahupun panas terik. Kebanyakan tiang rumah panjang juga dihasilkan daripada kayu ini kerana ia masih dalam keadaan baik walaupun sudah tiga atau empat kali digunakan untuk membuat rumah,” katanya.
Menurutnya, keris menjadi pilihan untuk dipamerkan pada HKK kerana ia simbolik kepada kedaulatan orang Melayu dan lambang jati diri.
“Keris dicipta bersama sarung yang memberikan maksud tersirat iaitu sarung sebagai rumah manakala keris adalah isi rumah. Saya mengambil masa lebih sebulan untuk menyiapkan bentuk serta ukiran bagi memberi pengunjung merasai ia seperti keris sebenar,” katanya.
Pameran bertema kraf kreatif dan inovatif dari 25 Februari hingga 8 Mac itu menghimpunkan produk kraf Malaysia daripada pelbagai kaum dan budaya dari seluruh Malaysia selaras gagasan 1Malaysia.
Seramai 536 usahawan menyertai pameran terbesar itu menampilkan pelbagai hasil seperti ukiran kayu, tekstil, hasil rimba, seramik, logam, batik dan songket.
Bagi pemilik D’Indah Craf, Aziz Awang, dari Kelantan, yang menghasilkan rekaan daripada teras kayu dan tunggul kayu lama, HKK disertai kali ini membawa seribu hikmah apabila pelanggan dari Russia berminat membeli semua produk seni yang dipamerkan itu.
Aziz yang menghasilkan produk seni kraf berasaskan teras kayu atau tunggul kayu lama daripada cengal, merbau dan tembusu, berkata setiap kali mengikuti pameran seumpama itu, gerai pamerannya pasti tidak terlepas daripada kunjungan orang ternama termasuk mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Tun Jeanne Abdullah.
“Apabila sering dilawati golongan tertentu membuatkan saya berusaha menghasilkan rekaan lebih bermutu dan berkualiti. Begitu juga dengan pengunjung dari luar negara yang begitu menghargai hasil seni daripada bahan terbuang seperti tunggul dan akar kayu.
“Seorang pelanggan menghubungi saya meminta mencipta produk sama seperti yang pernah dibeli daripada saya sebelum ini. Bagaimanapun, jika dibayar tiga kali ganda sekali pun, saya tidak dapat memenuhi permintaan itu kerana setiap barangan dihasilkan berdasarkan bentuk asal tunggul atau akar kayu berkenaan,” katanya.
Antara produk menarik rekaannya ialah sinki, bekas bertutup berbentuk rebana, udang kara, bangku dan meja taman.
Pameran alat muzik tradisional memaparkan alat muzik tradisional kaum di Malaysia. Antara alat muzik dipamerkan ialah rebab, erhu, sape, kompang, rebana, angklung, kertuk, serunai dan seruling.
Engkok Makzor, 65, orang Asli dari suku kaum Temuan dari Tasik Bera, Pahang, menghasilkan rekaan rebab berbeza daripada sedia ada kerana menggunakan kulit ikan yang jarang ditemui iaitu ikan buntal.
Menurutnya, kulit ikan buntal diasingkan daripada isi dan kulit yang masih basah ditampal pada bahagian luar tempurung kelapa.
“Ukiran berbentuk siput gondang pada bahagian hujung gagan G perlu disiapkan terlebih dulu dan lubang dikorek pada sebatang kayu untuk meletak kunci tali rebab.
“Paling susah menghasilkan rebab ini ialah menghasilkan ukiran siput gondang di hujung kayu cengal,” katanya.
Pengunjung, Siti Nursyazwani Mohd Noh, 20, berkata, HKK yang dianjurkan kali ini sedikit sebanyak sebagai landasan untuk menarik golongan generasi muda mencintai seni kraf warisan bangsa.
“Pameran seperti ini patut diadakan setiap tahun supaya hasil kraf terus diminati bukan saja rakyat tempatan malah pelancong luar negara,” katanya.
Bagi Siti Nurzilawati Mohd Noh, 28, pula, HKK yang diadakan tahun ini lebih menarik kerana penyertaan lebih ramai usahawan terutama golongan Bumiputera.
“Di sini juga sebagai langkah permulaan untuk mereka mempromosikan barangan yang dijual untuk diperkenalkan kepada pengunjung,” katanya.







