KUALA LUMPUR: Kata-kata memikat dan ayat meraih simpati menjadi helah seorang penganggur mengikis wang beberapa wanita dalam satu masa.
Dengan penampilan menarik, kasanova berusia 20-an, itu menggunakan laman sosial di Internet untuk mencari mangsa sebelum dipujuk bertemu. Mangsa yang ‘cair’ dengan pujuk rayu lelaki terbabit diajak menjadi kekasih dan pada masa sama, wanita yang menjadi sasaran dipujuk menyerahkan wang beribu ringgit kepadanya untuk berbelanja.
Difahamkan, lelaki itu bekerjasama dengan seorang lagi rakannya untuk memperalatkan wanita sebelum ‘melesapkan’ wang mangsa. Mangsa terbaru, seorang wanita berusia awal 20-an yang bertugas sebagai penolong pegawai perancang ekonomi di sebuah syarikat di ibu kota. Menurut sumber, wanita berkenaan mengenali seorang lelaki pada April tahun lalu melalui Internet sebelum bertemu dan menjalinkan hubungan cinta.
“Lelaki terbabit dikatakan bijak ‘menabur’ ayat romantis dan menjaga penampilan sehingga ‘mencairkan’ hati mangsa.
“Disebabkan terlalu kasih, wanita yang ‘buta’ akibat cinta itu hanya menuruti permintaan lelaki terbabit termasuk memberikan wang apabila diminta,” katanya.
Bagaimanapun, selepas beberapa bulan menjalinkan hubungan, wanita terbabit mengetahui teman lelakinya turut meminta wang daripada wanita lain.
“Mangsa yang curiga menyiasat lelaki terbabit termasuk membaca mesej dan panggilan diterima di telefon bimbit milik lelaki berkenaan. “Mangsa bagaimanapun kecewa selepas mengetahui teman lelakinya itu sebenarnya melakukan kegiatan keji dengan memikat wanita lain untuk mendapatkan wang,” katanya.
Difahamkan, mangsa juga mengetahui teman lelakinya tidak melakukan perkara itu bersendirian, tetapi bersubahat dengan seorang lagi rakan baiknya.
Disebabkan itu, mangsa dan teman lelakinya kerap bergaduh dan mangsa pernah diugut menyerahkan wang RM5,000 kepada lelaki itu.
Menurut sumber berkenaan, mangsa membuat laporan polis bagi mengelak hidupnya diganggu lelaki terbabit.






