Sa’adiah wanita pertama menang CEO terbaik

0

Category : motivasi

Datin Paduka Siti Sa’adiah Sheikh BakirKUALA LUMPUR: Pengarah Urusan KPJ Healthcare Bhd, Datin Paduka Siti Sa’adiah Sheikh Bakir dipilih sebagai penerima Anugerah Ketua Eksekutif (CEO) Malaysia 2009 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) malam tadi.

Siti Sa’adiah menerima anugerah itu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, adalah wanita pertama diberikan anugerah berprestij yang diperkenalkan 15 tahun lalu dengan menewaskan 118 calon daripada 16 industri berbeza.
Beliau yang kini berusia 57 tahun, mula memegang jawatan itu sejak Mac 1993. Dianjurkan bersama oleh Business Times dan Maybank, Anugerah CEO memberi pengiktirafan kepada kecemerlangan peneraju korporat negara. Mengulas kemenangannya itu, Siti Sa’diah berkata, ia menguatkan lagi keazamannya untuk meningkatkan prestasi KPJ Healthcare sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan terulung negara, di samping membantu menjadikan Malaysia sebagai pilihan utama pada peringkat global dalam aspek penjagaan kesihatan.

Beliau berkata, berdasarkan kajian oleh sebuah pertubuhan di Amerika Syarikat, Malaysia menduduki tempat ketiga peringkat global dan pertama di Asia dari segi tumpuan warga asing mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

“Selaras pendapat Perdana Menteri yang menyatakan sektor penjagaan kesihatan boleh dibangunkan sebagai industri global, KPJ Healthcare berazam menjadikan Malaysia nombor satu untuk kecemerlangan kesihatan di dunia,” katanya.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Pengerusi The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan; Presiden dan Ketua Eksekutif Maybank, Datuk Sri Abdul Wahid Omar; Pengarah Eskekutif Editorial NSTP, Datuk Ahmad A Talib; Ketua Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Bujang dan Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Zainul Arifin Mohammed Isa.
Malaysia Aiports Holdings Bhd dipilih sebagai pemenang Anugerah Inisiatif Kemasyarakatan Korporat yang kali pertama diperkenalkan dan diterima oleh Pengarah Urusannya, Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid.

Dalam ucapannya, Najib mahukan corak pengurusan korporat negara berubah daripada amalan arahan dan kawalan kepada yang membolehkan idea dan maklumat disalurkan secara bebas oleh kakitangan.

Perdana Menteri berkata, dunia hari ini berkehendakkan visi, pembuat keputusan dan pelaksana serta pelaksanaan perancangan yang berbeza daripada dulu.

Sehubungan itu, katanya, untuk bergerak seiring perubahan, pengurusan di Malaysia tidak harus terikat kepada amalan arahan dan kawalan ketika dunia global yang menekankan integrasi melalui komunikasi.

“Adalah penting untuk memahami bahawa peningkatan saling berhubungan ini secara langsung akan meningkatkan daya saing.

“Untuk bersaing dalam persekitaran seperti ini, mesti ada kebebasan maklumat dan idea. Pihak pengurusan korporat Malaysia mesti bergerak ke arah ini.
“Cara pengurusan perlu diubah supaya syarikat Malaysia tidak ketinggalan dan mesti berdaya saing pada peringkat global,” katanya.

Najib berkata, pada masa lalu amalan pengurusan memberi penekanan kepada struktur keputusan dibuat pihak atasan ke bawah serta rantaian arahan bersepadu yang walaupun mempunyai kebaikan, tetapi mewujudkan aliran komunikasi sehala dengan terlalu sedikit ruang kebebasan.

“Dalam memberi pengiktirafan kepada kakitangan bawahan, usaha lebih diperlukan bagi meningkatkan bukan saja pengurusan, malah penyertaan kakitangan di semua peringkat,” katanya. //bharian

Post a comment

[ Online : 1017 hari. ]