Sabah & Sarawak: 15 tahun minum air kotor

0

Category : sabah, sarawak

Saluran paip dinaik taraf, namun tiada bekalan diterima penduduk

KOTA BELUD: Lebih 5,000 penduduk Kampung Kesapang, Labuan, Wakap, Pintasan dan Kayu Puteh di sini, bagaikan hidup pada zaman silam seabad lalu kerana kekal dengan kehidupan menggunakan sumber hujan, perigi dan telaga tiub sebagai bekalan minuman.
Pada musim kemarau panjang seperti sekarang, perigi yang menjadi sumber semakin cetek, manakala bekalan air di telaga tiub pula berkeladak dan memualkan. Bagi yang bergantung kepada hujan, tangki air mereka sudah lama kering dan kini terpaksa diisi dengan bekalan dari perigi dan sungai yang dimasukkan ke dalam gelen atau baldi sebelum dipikul golongan lelaki dan dijunjung wanita.

Tangki aluminium dan plastik berkarat serta berlumut sudah cukup menjadi bukti tahap keselamatan dan kesan air berkenaan terhadap kesihatan penggunanya adalah meragukan.

Penduduk Kampung Labuan, Basirin Boyoh, 60, mendakwa penduduk kampungnya sudah 15 tahun bergantung kepada air dari telaga tiub berkeladak dan hanyir.

“Walaupun kampung kami mempunyai saluran paip, ia tidak ubah seperti besi buruk dalam tanah yang menyusahkan rakyat.
“Ini kerana kami membayar angin berikutan meter paip sentiasa aktif tetapi tiada air mengalir.

“Sekitar 1980 hingga 1985, kampung kami mempunyai bekalan air paip tetapi terhenti sejak 25 tahun lalu. Awalnya kami menggunakan perigi dan perigi pam kemudian beralih kepada telaga tiub pada 1995 sehingga sekarang.

“Kami harap kerajaan segera menyelesaikan masalah ini bagi membolehkan rakyat menikmati kemajuan dengan menerima bekalan air bersih,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Penduduk Kampung Wakap, Sain Suntoh, 45, berkata kesan karat dan lumut di tangki perlu dianalisis oleh pihak berkaitan seperti Jabatan Kimia dan Jabatan Kesihatan negeri bagi menentukan kualitinya sama ada berbahaya kepada rakyat atau sebaliknya.

Beliau mendakwa ada penduduk pernah menghantar sampel air telaga tiub yang dikesan menyebabkan tangki berkenaan berkarat dan berlumut kepada pihak berkenaan, namun tiada keputusan diterima sehingga sekarang.

“Walaupun kami orang kampung, kami tahu juga sedikit sebanyak hal kesihatan. Kami harap Jabatan Kimia dan Jabatan Kesihatan negeri membuat analisis tahap keselamatan air dari telaga tiub kepada rakyat dan jika tidak elok untuk kesihatan, kami akan menghentikan penggunaannya serta-merta.

“Kami juga mahu Jabatan Bekalan Air (JBA) daerah bertindak segera menyalurkan bekalan air paip ke kampung kami. Apa guna batang paip jika tiada air,” katanya.
Penduduk Kampung Kesapang, Martha Janjam, 42, berkata penduduk hairan kerana paip yang dipasang di kampung itu sudah beberapa kali dinaik taraf sejak 10 tahun lalu namun tiada air yang keluar.

Katanya, projek pemasangan saluran paip itu dilihat membazir duit rakyat kerana hanya kontraktor mendapat untung sedangkan rakyat terus menderita minum air kotor.

“Kami hanya melihat paip yang tiada air dan terus bergantung kepada air telaga tiub yang kotor sehingga kesan karat dan lumut dapat dilihat di tangki aluminium yang digunakan untuk menadah air berkenaan.

“Kami percaya ia berpunca dari sumber air itu iaitu Sungai Kesapang dicemari racun serangga dan baja pertanian dari sawah berhampiran, selain najis ternakan berkubang dalam sungai itu,” katanya. //bharian

Post a comment

[ Online : 915 hari. ]