Cerpen: Pinggan Retak Seribu

0

Category : Karya Seni

PANGG!!! Jatuh berderaian beberapa buah pinggan setelah usai dibersihkan dari sebuah meja yang diletakkan berhampiran penjuru tingkap. Memercik serpihan kaca yang bertebaran memenuhi ruang dapur rumahnya. Pinggan yang disusun bertingkat itu tidak mampu lagi menimbang beban lalu jatuh berderaian. Silap Mak Lijah juga kerana tidak sedar akan perkara sekecil itu. Dia mengeluh, menyalahkan diri sendiri. Mak Lijah terbongkok-bongkok mengutip sisa-sisa kaca dan kemudiannya membersihkannya dengan menggunakan penyapu lidi. Haida Sulasti hanya memandang dengan matanya yang berkaca. Sudah jenuh dia mengatakan kepada orang tuanya untuk mengadakan kenduri secara katering. Namun permintaannya seperti tidak diendahkan. Emaknya lebih suka cara tradisi Melayu yang menonjolkan ciri-ciri tradisional.

Mengucap syukur Mak Lijah pinggan kesayangan yang satu-satunya masih dimilikinya tidak pecah. Dikucupkannya pinggan itu, pinggan yang banyak meninggalkan nostalgia kepadanya. Sementelah pinggan yang diwarisi daripada ibunya masih terpelihara sehingga kini. Pinggan yang menjadi simbol perkahwinan dengan arwah suaminya. Dan pinggan ini bakal berubah tuan kepada anaknya Haida Sulasti. Pinggannya masih bersinar, masih cantik, berkilat seperti sucinya mana kasihnya kepada suaminya. Pinggan ini pasti menjadi lambang sejati perkahwinan anaknya Haida.
Bagi Mak Lijah sudah lama dia tidak mengadakan kenduri, kali terakhir semasa kenduri tahlil arwah suaminya. Dia rindukan semangat kerjasama antara penduduk kampung. Kerinduan itu kini dapat disemai kembali, pertautan silaturahim yang segar dapat jalin semula. Kemesraan yang tidak dapat digalang ganti dengan wang ringgit. “Haida, sini sebentar,” Mak Lijah memanggil Imah.

“Ya, mak. Tunggu sebentar. Haida mematikan perbualannya di telefon dan menuju ke ruang dapur rumahnya.

“Kaulihat pinggan ini, namanya pinggan retak seribu.”

“Haida tengok baik saja pinggan ni, tak ada retak pun,” balas Haida memintas kata emaknya.
“Bukan itu maksud mak, engkau ni pun satu emak tak habis cakap kau dah potong cakap mak. Pinggan ini mak hendak gunakan masa majlis makan pengantin nanti. Unik pinggan ini. Pinggan tinggalan arwah nenek kau” jelas Mak Lijah.

Jam menunjukkan lewat 12.12 malam, Mak Lijah masih tekun menyusun pinggan mangkuk yang telah dibersihkan. Segala jenis periuk, kuali telah dikeluarkan dari stor di belakang rumahnya pagi tadi. Mujur penghuni segala binatang seperti lipan tidak menggigitnya semasa mengeluarkan barang-barang dalam stor tersebut. Melihat perlakuan anaknya sudah tentu segala perancangan untuk majlis perkahwinan tersebut tidak akan berlangsung. Dia sudah menyiapkan segala-galanya. Namun tuan badan sendiri seperti tidak mengendahkan majlis sendiri. Semuanya hendak ditunjuk sahaja. “Itu yang perkahwinan muda-mudi sekarang tidak kekal. Tidak mahu berusaha sendiri,” amarahnya dalam hati.

Suasana majlis perkahwinan berlangsung dengan meriah sekali tidak ada sebarang khidmat katering. Akur dengan kemahuan emaknya. Segala-galanya dibuat dengan sendiri. Walaupun sekali pandang hantaran yang dihasilkan tampak seperti orang yang tiada berseni namun kepuasan dapat dirasai oleh Haida. Haida membenarkan kata-kata emaknya. Riuh-rendah bunyi gelagat orang di luar rumah. Sebanyak enam khemah di pasang. Bahagian penanggah semakin sibuk menyediakan segala kerja. Warna ungu menjadi tatarias dalam majlis tersebut. Kesibukan membuatkan Mak Lijah ke hulu ke hilir mengalas beban tugas. Kemuncak majlis, dengan kehadiran ramai tetamu yang kehadirannya tidak dijangkakan. Mak Lijah mulai risau, bertali arus tetamu datang. Malu mukanya kalau tetamu tidak dapat layanan seperti yang diharapkan. Malu juga pada besannya nanti.

“Pinggan! Pinggan! Pergi ambil dekat situ. Cepat! Tak cukup ni!” teriak Zaidi Ponijan anak muda belia kampung.

Sambil bersalam dengan tetamu yang datang. Di cuping telinganya jelas terdengar teriakan itu.

Mak Lijah meluru ke dapur rumahnya sebentar. Dia terus menuju ke kabinet dapur untuk mengambil pinggan-pinggan lama yang masih berbaki. Mujur pinggan tersebut telah dibersihkan. Hanya perlu dilapkan dengan kain bersih. Diangkatnya pinggan tersebut. Dibawanya ke dalam khemah. Gusarnya hilang, dia terus melayan tetamu yang datang.

Kelibat anak ketiganya Amina Beevi bertungkus-lumus menyediakan keperluan yang sepatutnya. Mata Amina tertancap pada kelibat saudaranya dari Kuala Lumpur sedang memilih-milih pinggan-pinggan di atas meja. Hatinya terdetik, bagaimana pinggan-pinggan lama tersebut boleh berada di situ. Dia diam membisu mungkin pinggan jiran sebelah yang baru dipinjam. Namun dari jauh dia seakan kenal dengan corak-corak yang terdapat dalam pinggan tersebut. Dia melepaskan buah fikirnya agar pergi. Bukan itu yang lebih penting baginya. Majlis perkahwinan Haida Sulasti berlangsung dengan meriah. Tetamu yang datang sudah beransur pergi. Mak Lijah menyeka peluh di dahinya. Agak letih dan penat, namun kepuasan tidak tergambar olehnya. Saudara mara yang jarang berjumpa, dipertemukan dalam majlis ini. Itu yang membuatkan dirinya terharu. Hasratnya menggunakan pinggan retak seribu warisan nenek moyangnya telah tercapai. Sudah sampainya pinggan itu diberikan kepada Haida.

Melihat pinggan yang masih banyak terdampar menggusarkan Mak Lijah. Matanya mengeliling mencari sesuatu. Sesekali dia mengeluh. Pinggan retak seribu yang dicarinya tidak ditemui. Dia sudah mengasingkan pinggan tersebut setelah usai makan pengantin. Tidak mungkin dia tersalah letak.

“Mak sedang cari apa?” Haida menyoal

“Pinggan peninggalan arwah nenek kau tu. Mak rasa mak letak dekat sini. Siapa pulak yang gatal tangan alihkan pinggan itu,” terlihat Mak Lijah buntu dan riak wajah yang risau.

“Oh baru Kak Lang ingat, sebentar tadi Amina nampak orang memilih-milih pinggan. Mungkin orang itu yang ambil,” celah Amina Beevi.

“Angah pun nampak,” jawab Amin.

“Siapa?” Mak Lijah bertanya.

“Saudara kita dari Kuala Lumpur. Kak Lang nampak dia sedang memilih-milih pinggan. Kemudian ternampak pula dia masukkan dalam plastik. Maknanya dia pilih pinggan tersebut untuk melihat mana yang berkenan rasanya.

Dari dapur, emaknya mengumpul pinggan-pinggan peninggalan warisan nenek moyangnya. Tidak dinafikan pinggan tersebut memang lain daripada yang lain. Jika seseorang itu peminat barang antik, sudah tentu pinggan di rumahnya menjadi sasaran. Dia bingung pinggan yang dikeluarkan sudah berkurangan. Apabila disusun pinggan tersebut dapat dilihat tingkat susunannya semakin rendah. Hatinya berdebar-debar. Amanah suaminya masih tersisip. Pinggan tersebut memberi konotasi yang tidak ternilai berbanding harganya.

“Pinggan retak seribu,” suara kecil keluar dari bibirnya perlahan dengan nada sayu. Peluh dingin menitik di dahinya.

“Memang sah, pinggan tersebut tiada,” Mak Lijah menyalahkan dirinya.
“Memang dasar pencuri. Kalau pun mahu, perlu diberitahu. Jangan main ambil sahaja,” bergetar suara kemarahan Amin.

Tidak pernah terfikir di fikirannya pinggan itu diambil orang. Mak Lijah sedih. Hampir separuh pinggan lama yang dikeluarkan tiada setelah kesemua barang-barang kenduri dikumpulkan.

“Angah mahu telefon saudara kita di Kuala Lumpur sekarang,” Amin mengambil keputusan.

“Tak payahlah,” Mak Lijah menahan. Jangan disebabkan sebuah pinggan membuatkan kita bermusuh.

“Tapi mak, salah perbuatan mereka. Patutlah seronok saja mereka memilih-milih pinggan. Ingat untuk dibubuh makanan, rupa-rupanya hendak dibawa balik”.

Mak Lijah tunduk membisu. Sudah acap kali pinggan di rumahnya menjadi sasaran. Kira-kira bulan lepas, baharu sahaja dia menerima tetamu iaitu kenalannya yang sudah lama tidak bertemu dari Kuala Lumpur. Seperti biasa apabila tetamu datang, tuan rumah akan melayan. Seingatnya, dia menghidangkan makanan yang menggunakan pinggan-pinggan lama. Sahabatnya dari Kuala Lumpur, membelek-belek pinggan yang di atasnya terhidang kuih pelita.

Cantik pinggan kau ni Lijah. Boleh aku minta satu dua biji untuk dibuat hiasan.
Apalah engkau ni Mah, apa sangat pinggan buruk aku dengan pinggan orang bandar sekarang.

Jangan macam tu Lijah, orang bandar sekarang semua gila pinggan-pinggan antik. Lebih-lebih lagi pinggan macam kau guna ni. Boleh kaubagi pinggan ni. Minat sangat aku dengan pinggan bermotifkan corak bunga kangkung. Susah hendak ditemui sekarang.

“Ambillah, kalau pinggan jenis ni masih banyak. Kalau yang ini tidak ada lagi, hanya tinggal beberapa buah saja,” ujar Mak Lijah seraya menunjukkan pinggan yang di belakangnya tertulis buatan dari Jepun. Pinggan tersebut memang cantik coraknya. Sudah berpuluh-puluh tahun usianya. Corak bunga tradisi Jepun memang menarik. Warna emas di sekeliling pinggan tersebut menambah lagi keunikan pinggan tersebut. Kalau yang ini lagi lama, pinggan berpetak-petak. Pinggan berpetak itu memang menarik ramai mata memandang.

“Cuma kalau yang ini memang warisan keluarga. Aku tak beri siapa-siapa pun. Ini sahaja satu-satu pinggan yang ada,” dihulurnya pinggan retak seribu tersebut kepada kenalannya itu. Memang unik, pinggan tersebut mempunyai corak bunga yang cantik dan yang uniknya pinggan tersebut retak seribu, tetapi ia tidak pecah. Beberapa kali dia didesak oleh rakannya itu agar memberinya pinggan retak seribu tersebut. Rakannya sanggup membayar dengan harga yang tinggi untuk mendapatkan pinggan tersebut.

Lamunnya terhenti. Pinggan yang mempunyai nilai sentimental pada dirinya sudah tiada di depan mata. Hatinya tidak keruan. Ingin dilepaskan amarahnya khuatir timbul sebarang perkara yang tidak diingini. Dia tidak mahu kerana pinggan semuanya berantakan. Orang sekarang sudah gila pinggan klasik dan pinggan lama. Segelintirnya mengambil jalan mudah tanpa mengambil kira untuk diminta, dicuri atau memahami perasaan hak kepunyaan orang lain. Semuanya tidak lagi dihiraukan. Kepuasan memiliki sesuatu itu, lebih penting daripada nilai budi, luhur hati dan segala-galanya. Mak Lijah memandang jauh di luar tingkap. Membenarkan perasaannya pergi bersama kenangan pinggan retak seribu. Air matanya bergenang mengharap segalanya kembali di sisinya agar kenangan yang terbina melalui pinggan tersebut terus terpateri di muara hati.

Biodata:

BAIYAZID Mustaffa ialah nama pena bagi Mohd Mustaza Abd Manap Mula bergiat secara aktif ketika menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Tanjung Malim, Perak. Pernah mengikuti pelbagai bengkel penulisan dan antaranya ialah Bengkel Penulisan Kreatif 2007 anjuran Jabatan Kemajuan dan Kesenian Negara Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KeKKWa) di Pahang Darul Makmur. Kini, bertugas sebagai guru di SMK Datuk Mohd Taha, Gemencheh, Negeri Sembilan. Beliau boleh dicapai di http://baiyazidmustaffa07.blogspot.com

Post a comment

[ Online : 914 hari. ]