SAYA ibu berumur 38 tahun dan mempunyai empat anak. Selepas melahirkan anak keempat pada Disember 2005, saya mengalami keguguran tiga kali berturut-turut iaitu pada September 2008, Mac 2009 dan terbaru 13 Februari lalu.
Semua keguguran ini menjalani cucian dilation dan curettage (D&C) dengan usia kandungan antara lapan hingga 12 minggu. Saya berasa sangat sedih dan tertekan terutama selepas keguguran kali ketiga ini.
Adakah saya masih ada harapan untuk hamil dan selamat melahirkan bayi kelak? Berapa lama patut saya berehat sebelum merancang hamil semula? Adakah faktor usia dan berat badan saya iaitu hanya 38.5 kilogram serta pengambilan ubat-ubatan oleh suami mempengaruhi keguguran ini? Apakah ujian yang perlu saya lalui untuk memastikan perkara ini tidak berulang?
FIDA,
Kuala Lumpur
KEGUGURAN tiga kali berturut-turut mempunyai kategori khas dalam dunia perubatan dan dinamakan keguguran habitual. Ia boleh disebabkan beberapa penyakit, antaranya menyebabkan keguguran terus berlaku dalam peratusan yang tinggi iaitu 60 peratus berbanding risiko keguguran secara amnya hanya di bawah 15 peratus.
Lazimnya, ia membabitkan satu siri ujian darah yang banyak, ujian ruang rahim menggunakan sinaran-x, sampel faraj untuk jangkitan tertentu dan seumpamanya.
Selepas keguguran, tempoh dua hingga tiga bulan lazimnya sudah memadai untuk anda meneruskan kehamilan berikutnya.
Bagaimanapun, eloklah anda menjalani pemeriksaan di atas, kerana sesetengah penyakit ada rawatannya dan ia dapat mengelak risiko keguguran yang tinggi itu jika tidak dirawat.
Anda juga harus memastikan pengambilan makanan berkhasiat serta mempunyai berat badan yang sesuai. Anda tidak menyatakan ketinggian anda.
Dengan berat badan terbabit, mungkin ia ideal hanya jika ketinggian anda di bawah 142 sentimeter. Ramai wanita Malaysia mempunyai ketinggian melebihi 150 sentimeter.
Anda juga tidak menyatakan pengambilan ubat-ubatan yang diambil suami dan mungkin anda juga. Usia wanita sememangnya memberikan risiko keguguran peningkatannya, ini berkait dengan usia telur yang keluar yang mempengaruhi kualitinya serta kemungkinan berlakunya mutasi genetik.//hmetro






