Pada tahun 2004, jumlah jualan kereta penumpang dan perdagangan meningkat lebih 20 peratus kepada 487,605 berbanding hanya 405,745 pada 2003, menjadikannya yang tertinggi dalam sejarah jualan kereta di Malaysia. Untuk 2005, jumlah jualan dijangka mencecah paras setengah juta.
Angka itu nyata menunjukkan bahawa menjual kereta merupakan punca pendapatan yang lumayan. Hampir semua daripada kita ingin memiliki kereta dan dalam kehidupan hari ini, kereta bukan lagi barangan mewah tetapi satu keperluan.
Cumanya apabila membeli kereta, ia mungkin mendatangkan beban kewangan kerana tidak semua benar-benar mampu memilikinya.
Mereka yang meminjam untuk membeli kereta dan tidak membayar ansuran pinjaman menghadapi risiko “menerima tetamu yang tidak diundang” dan menjadi “mangsa ganas penarik kereta”. Apabila ini berlaku, bermulalah mimpi ngeri untuk mereka.
Persatuan Pengguna-Pengguna Islam Malaysia (PPIM) baru-baru ini meminta kerajaan mendaftarkan semua penarik kereta menerusi satu pertubuhan, persatuan atau badan khas bagi menentukan golongan berkenaan lebih beretika dan tidak bertindak ganas terhadap pemilik kenderaan.
Menurut persatuan itu, langkah yang dicadangkan membolehkan pemantauan dibuat bagi menentukan golongan berkenaan tidak mengamalkan budaya samseng dalam menjalankan tugas dan mematuhi peraturan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shafie Apdal turut mengeluarkan kenyataan dengan menasihati syarikat-syarikat kewangan supaya tidak menggunakan khidmat penarik kereta yang ganas, sebaliknya menggunakan tindakan undang-undang.
PENGGUNA MUDAH MENJADI MANGSA
Industri kereta atau jual beli barangan dikawal Akta Sewa Beli 1967. Satu garis panduan juga telah dibuat untuk melindungi pengguna.
Industri automotif Malaysia telah mengalami pertumbuhan pesat sejak 1967 tetapi menurut Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), tidak banyak pindaan dibuat ke atas Akta Sewa Beli itu dan ini menyebabkan pengguna mudah menjadi mangsa peniaga.
“Kebiasaannya institusi kewangan tidak mahu memikul tanggungjawab terhadap masalah yang timbul meskipun mengikut Akta Sewa Beli, mereka adalah pemilik sebenar kereta sehinggalah bayaran ansuran terakhir dibuat oleh pembeli,” jelas Darshan Singh, Pengurus, Aduan dan Siasatan NCCC.
Lazimnya, kata beliau, pengguna mencari penyelesaian daripada peniaga dengan mengenepikan institusi kewangan sedangkan pada hakikatnya institusi kewangan sebagai pemilik sepatutnya membantu pengguna yang menghadapi masalah.
“Fungsi institusi kewangan bukan berakhir dengan pemberian pinjaman semata-mata,” tegasnya.
ISU-ISU YANG MENEKAN PENGGUNA
Sebenarnya pengguna bukan sahaja berhadapan dengan masalah kereta yang ditarik. Banyak lagi isu penting yang menekan pembeli-pembeli kereta dan ianya berlaku bukan kerana kesalahan mereka.
Mereka yang pernah membeli kereta mungkin bersetuju bahawa masa yang lama untuk mendapat kereta merupakan satu masalah besar yang kadang kala berpunca daripada peniaga dan wakil jualan mereka.
Kebiasaannya wakil jualan akan menjanjikan tarikh penghantaran kereta kepada bakal pembeli.
“Sekarang, di bawah Akta Sewa-Beli tak perlu dinyatakan tarikh penghantaran secara bertulis. Pembeli biasanya membayar wang pendahuluan dan pergi. Apa yang sering berlaku kereta tak dihantar pada tarikh yang dijanjikan.
“Wakil jualan ini tahu mereka tak dapat menyerahkan kereta itu tetapi mereka masih berjanji untuk memudahkan urusan jualan kerana kebanyakan mereka bergantung kepada komisyen,” menurut Darshan.
Malah sesetengah pengguna, kata beliau, terpaksa menunggu sehingga 18 bulan untuk mendapat kereta yang dijanjikan.
“Apabila pengguna ini mula bosan dengan wakil jualan, sudah tentu mereka akan menuntut bayaran semula bagi wang tempahan dan biasanya wakil jualan enggan membuat bayaran itu dengan menggunakan alasan ia adalah dasar syarikat.
“Ini karut semata-mata. Kita mesti tengok siapa yang melanggar kontrak,” kata Darshan.
Menurut beliau, kebanyakan pengguna biasanya menjual kereta lama mereka dan menggunakan pengangkutan awam bagi urusan harian setelah peniaga atau wakil jualan menjanjikan tarikh untuk menyerahkan kereta baru.
“Perlu ada peruntukan untuk penghantaran lewat supaya pengguna mendapat ganti rugi. Kita boleh mengambil contoh daripada Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966. Ini akan memaksa peniaga supaya lebih beretika apabila membuat janji penghantaran,” katanya.
Menurutnya, masalah itu biasanya timbul apabila model kereta yang dibeli merupakan model popular di kalangan pengguna.
Pihak pengedar, kata Darshan perlu mengawal rapi wakil jualan mereka dan tidak teragak-agak untuk menggantung hak jualan sekiranya mereka menerima aduan.
PERJANJIAN JUAL BELI YANG KOSONG
Darshan juga menyentuh tentang kebiasaan pengguna menandatangani “Perjanjian Jual Beli Yang Kosong”. Tidakkah ini semacam pernah didengar? Mungkin kerana hendak cepat atau sudah lumrah, pembeli kereta akan diberi helaian demi helaian “borang kosong” untuk ditandatangani, tanpa sepatah soalan.
Lazimnya, sebaik sahaja pembeli telah memilih kereta idamannya, peniagalah yang akan membuat semua urusan pinjaman. Pengguna akan diminta menandatangani dokumen jual beli yang kosong dan dokumen-dokumen berkenaan kemudiannya akan dikemukakan kepada institusi kewangan yang tertentu untuk diproses.
“Mengapa pengguna diminta menandatangani dokumen kosong? Di NCCC, kami menerima banyak kes di mana pengguna dijanjikan, katakanlah tempoh 7 tahun untuk bayaran semula dengan kadar faedah yang tertentu tetapi apabila perjanjian diterima, ianya tidak sama dengan apa yang telah dijanjikan.
“Ke mana pengguna hendak mengadu sekiranya dia tidak bersetuju dengan perjanjian tersebut. Sudah tentu sukar untuk pengguna membuktikan keadaan yang sebenar kerana semua dokumen sudah ditandatangani?” tanya Darshan.
MUTU YANG TIDAK MEMUASKAN DAN KERETA POTONG
Kereta baru tidak semestinya tiada masalah. Sesetengah orang berkata beli kereta bergantung juga kepada nasib. Kereta baru anda mungkin mempunyai sedikit masalah atau ia mungkin terpaksa tersadai di bengkel berbulan-bulan lamanya.
Menurut NCCC, ramai pengguna yang menerima nasib malang mendapat “kereta bermasalah” dan tidak dapat memandu kereta baru mereka selama berbulan-bulan.
“Pengguna-pengguna yang mengalami nasib ini perlu dibayar ganti rugi kerana tidak dapat menggunakan kenderaan mereka,” kata Darshan.
Beliau juga mengutarakan kes di mana peniaga yang menghantar unit pameran (kereta yang dipamerkan) kepada pengguna dan kereta-kereta berkenaan sudah tentu telah dipandu untuk jarak yang agak jauh.
“Dalam hal ini pengguna bukan mendapat kereta baru tetapi kereta yang sudah terpakai,” katanya.
Kereta potong merupakan satu lagi isu yang disifatkan oleh Darshan sebagai sering diperkatakan tanpa sebarang tindakan daripada pihak berkuasa yang berkenaan.
Banyak kemalangan dilaporkan berlaku berpunca daripada kenderaan ini.
“Kereta-kereta itu sebenarnya keranda bergerak,” kata Darshan.
Kereta potong biasanya merujuk kepada kereta yang telah dilupuskan oleh syarikat-syarikat insurans kerana kemalangan. Kereta-kereta berkenaan kemudiannya dilelong kepada bengkel-bengkel dengan harga yang rendah.
“Apa yang berlaku kereta-kereta yang telah dilupuskan itu kemudiannya dipasang dengan bahagian-bahagian lain dan kembali berada di jalanraya. Peniaga kereta terpakai membeli kereta-kereta potong itu dengan harga yang murah dan menjualnya pada harga pasaran. Keuntungan yang lumayan boleh dibuat daripada perniagaan ini. Pengguna tidak mungkin kenal bahagian yang dipotong kerana pakar sahaja yang boleh berbuat demikian.
“Syarikat-syarikat kewangan sekarang sudah menjadikan satu keperluan untuk semua kereta menjalani pemeriksaan dan mendapat sijil Puspakom sebelum pinjaman dikeluarkan. Ini sedikit sebanyak dapat mengawal keadaan tetapi institusi kewangan juga dalam masa yang sama mendapat cara baru untuk memperolehi pendapatan tambahan. Kebiasaannya bayaran yang tinggi dikenakan untuk pemeriksaan Puspakom,” jelasnya.
BERHAT-HATI APABILA MEMBUAT TUKAR BELI
Satu lagi perkara yang perlu diawasi pengguna ialah apabila membuat tukar beli (trade in). Sebagai langkah menggalakkan jualan, peniaga kereta juga menyediakan kemudahan tukar beli. Biasanya peniaga kereta akan membuat urusan ini dengan peniaga kereta terpakai bagi mengadakan kemudahan tersebut.
Menurut Darshan, dalam kebanyakan kes, kereta-kereta yang ditukar beli akan disimpan di tempat simpanan peniaga kereta terpakai sementara menunggu pembeli.
“Pengguna membuat andaian kereta mereka sudah dijual tetapi mereka lupa sehingga nama mereka dikeluarkan, mereka masih penyewa kereta dan perlu memenuhi semua kewajipan dengan pemilik (institusi kewangan yang memberi pinjaman pembelian kereta).
“Mereka perlu memastikan nama mereka dikeluarkan dan sekiranya ini tidak dibuat dalam masa dua minggu daripada penyerahan kenderaan, mereka perlu membuat laporan polis dan mengambil semula kenderaan tersebut,” katanya.
Pengguna juga perlu faham yang kenderaan mereka boleh digunakan untuk tujuan yang menyalahi undang-undang dan akhirnya mereka juga yang mendapat kesusahan, katanya.
Darshan mengingatkan pengguna yang menukar beli kenderaan mereka supaya memastikan semua urusan dibuat secara bertulis.
“Ini akan memberi perlindungan yang lebih kepada pengguna,” katanya.
TARIK KERETA YANG TIDAK BERETIKA
Mengenai isu “penarik kereta ganas”, Darshan memberikan beberapa contoh kes yang sampai ke meja beliau.
* Wanita dan anaknya yang berusia lima tahun ditinggalkan di tepi jalan yang sunyi oleh penarik kereta.
* Seorang lelaki ditahan penarik kereta yang kemudiannya menelefon institusi kewangan untuk mengesahkan sama ada kereta yang dipandu lelaki itu berada dalam senarai kereta yang ditarik. Setelah maklumat diterima, lelaki itu dilepaskan tetapi tetap menanggung malu kerana ada beberapa tetamu di dalam keretanya.
* Penarik-penarik kereta memecah pintu pagar rumah seorang lelaki pada jam 2 pagi dan menarik kereta lelaki berkenaan.
* Seorang lelaki kehilangan sistem stereo kereta bernilai RM2,000 selepas kenderaannya itu ditarik tanpa kehadirannya dan tidak ada sesiapa yang mengaku bertanggungjawab di atas kehilangan tersebut.
Contoh di atas adalah kes yang sampai kepada NCCC.
Darshan menegaskan “tarik kereta” merupakan satu bidang yang hampir tidak dikawal.
“Kita ada Peraturan-Peraturan Sewa-Beli (Pengambilan Semula Milik Dan Penyenggaraan Rekod-Rekod Oleh Pemunya) 1976 tetapi berapa banyak institusi kewangan yang mematuhi peraturan ini.
“Penarik kereta ini biasanya samseng, ada yang terbabit dengan dadah dan mereka ini mengganas sebelum menarik kereta. Kereta yang ditarik biasanya dihantar ke tempat simpanan dan banyak barang berharga hilang,” jelasnya.
Menurut Darshan, sukar untuk pengguna membuktikan barang yang hilang sebab tidak ada senarai barangan disediakan semasa kenderaan ditarik.
Beliau mencadangkan supaya apabila sesebuah kenderaan ditarik, satu senarai barangan disediakan supaya boleh disemak oleh penyewa yang mendapat semula kenderaan itu kemudian.
“Kita tak kata tarik kereta itu salah. Ini satu cara untuk institusi kewangan bertindak ke atas mereka yang gagal membayar ansuran bulanan. Apa yang kita mahu ialah cara menarik kereta yang lebih beretika. Pihak berkuasa perlu bertindak sebelum kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.
– BERNAMA







http://www.kereta2u.my/
Kereta2U | Selling Buying and Cars Bidding | Jual Beli Kereta Car For Sale Used Car Car Price MalayRM 10K ONLY !! PERODUA KELISA 1.0 EZ 02/03
( one owner & original condition)
Bidding Date: 1 November 2010
Time: 12.00pm till 4.30pm next day
Starting Price: RM10,000.00Venue: http://www.kereta2u.my
Car Viewing Location: Sg Ramal, Kajang