Syor mansuh UPSR, PMR

1

Category : pendidikan

PAGOH: Kementerian Pelajaran akan mencadangkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan bagi membolehkan pelajar di negara ini menduduki hanya satu peperiksaan awam sepanjang 11 tahun persekolahan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata cadangan pemansuhan peperiksaan itu kepada kerajaan akan mengubah sistem pendidikan negara yang kini terlalu berorientasikan peperiksaan menyebabkan matlamat melahirkan modal insan serba boleh yang mempunyai keterampilan tinggi gagal dicapai.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua peperiksaan itu mungkin juga diteruskan, tetapi bukan lagi berstatus peperiksaan awam seperti sekarang, sebaliknya dijadikan penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah saja.

“Pihak kami sedang fikirkan sama ada akan kekalkan atau perlu hanya satu saja peperiksaan awam, seperti (contohnya) pada peringkat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saja.

“Jika kita terlalu menjurus kepada peperiksaan, ia akan menyebabkan matlamat ke sekolah untuk menuntut ilmu, lebih kreatif dan menambah pengetahuan secara lebih holistik tidak akan dicapai sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pagoh, di Kompleks Seri Pekembar, di sini, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, cadangan mengekalkan satu peperiksaan saja pada peringkat sekolah itu juga berkaitan dengan langkah kementerian untuk merombak sistem pendidikan dan mengubah bentuk kokurikulum di peringkat sekolah.

Beliau berkata, pada masa ini, sistem pendidikan yang terlalu cenderung dengan peperiksaan menyebabkan guru terlalu fokus untuk mencapai kecemerlangan peperiksaan dan pelajar terlalu menumpukan usaha untuk cemerlang dalam peperiksaan awal saja.

“Adalah lebih wajar jika penilaian pencapaian pelajar dibuat pada peringkat akhir selepas 11 tahun di sekolah iaitu dengan hanya mengekalkan peperiksaan SPM sebelum mereka menyambung pelajaran ke peringkat universiti.

“Dalam soal kerjaya dan kerja, orang tak pakai lagi PMR dan UPSR, orang (bakal majikan) tak tanya pun keputusan PMR atau UPSR, sebaliknya hanya keputusan SPM dan peringkat universiti yang diambil kira,” katanya.

Bagaimanapun Muhyiddin berkata, pihaknya tidak tergesa-gesa untuk membuat keputusan memansuhkan peperiksaan itu kerana perlu mengkaji implikasi lain selain mengalu-alukan pandangan semua pihak termasuk warga pendidik, pelajar dan masyarakat.

Katanya, kajian pihaknya juga mendapati ada negara lain yang tidak mempunyai banyak peperiksaan seperti di Malaysia, malah ada sesetengah negara yang hanya mempunyai satu peperiksaan saja pada peringkat sekolah.

“Di Malaysia, ini adalah kesan daripada sistem yang terlalu ala peperiksaan menyebabkan fokus kita hanya berdasarkan keputusan peperiksaan, semua A atau 12A+ menyebabkan kita perlu meneliti untuk mengubah sistem itu,” katanya.

Beliau berkata, pengurangan peperiksaan di peringkat sekolah itu membolehkan pelajar mempunyai banyak masa untuk menumpukan kepada mata pelajaran tertentu dan kegiatan sukan, sekali gus memberi kesan positif kepada keseluruhan cara pendidikan pelajaran.

Comments (1)

Apabila beribu-ribu syarikat-syarikat penerbitan buku dan pusat-pusat tuisyen mengeluh, itu adalah petanda bahawa sistem pendidikan Malaysia tidaklah terlalu sempurna. Mengapa ? Kerana jika betul-betul sempurna, pelajar-pelajar sekolah tidak perlulah kepada bahan-bahan rujukan luaran dan tuisyen tambahan. Hakikatnya golongan komersial ini telah mengaut keuntungan daripada kelemahan aspek P & P sejak sekian lama.

Perkara utama yang mesti kita fikirkan ialah masa depan anak-anak kita (generasi akan datang). Saya cuma risaukan anak-anak lelaki, macamana mereka nak ‘survive’ dlm sistem pendidikan malaysia yang berorientasikan peperiksaan. Budak-budak lelaki ni bukan malas belajar, cuma mereka ni jenis banyak berfikir.

“Betul ke apa yg cikgu aku ni ajar ? Aku tak penah dengar pon apa yg cikgu ajar tu, Aku kelirulah.”. Itulah antara luahan hati budak-budak lelaki. Mereka tidak suka sumbat 100% dalam otak sehinggalah mereka betul-betul faham. Selain itu, budak-budak lelaki ni tidak suka mengadap buku berjam-jam kerana mereka juga perlukan masa untuk riadah dan bersukan. Saya rasa mungkin adalah bagus sekiranya sistem penilaian baru dibentuk supaya pelajar lelaki masih boleh dinilai (walaupun tanpa perlu membaca dan menghafal).

Antara sistem penilaian baru yang boleh dicadangkan ialah dari aspek kepimpinan, kerohanian, sahsiah, moraliti, komitmen dalam gerak kerja berkumpulan, ‘public speaking’, ‘creative thinking’, keupayaan dalam merekacipta sesuatu yang baru (inovasi), ‘internal self defensive’ (ketahanan diri supaya tidak mudah terjebak dengan gejala sosial) serta ‘decision making’ (kemahiran penyelesaian masalah/membuat keputusan secara tepat).

Lagi satu, pelajar universiti boleh me

Post a comment

[ Online : 1017 hari. ]