stress : sakit di bahagian belakang badan dan bahu

2

Category : kesihatan

Stress berlaku apabila keperluan dalam sesuatu perkara melebihi keupayaan yang ada pada seseorang untuk menguruskannya.

Stress dan Hormon

Apabila seseorang mengalami stress ataupun tekanan, badan akan mengaktifkan fungsi fisiologi tubuh bagi menanganinya. Akibatnya, beberapa jenis hormone seperti adrenaline, noradrenaline dan cortisol dibebaskan kedalam salur darah.

Hormon-hormon ini selain daripada menyediakan diri untuk mengatasi stress, ia juga mengubah sistem asal badan dan menyebabkan berlakunya simptom-simptom fizikal. Masalah ini cukup biasa sekali berlaku dan kajian menunjukkan bahawa 70-90% pesakit yang datang bertemu doktor di Jabatan pesakit luar untuk pelbagai jenis masalah sebenarnya mengalami stress.

Antara simptom-simptom fizikal yang berkait dengan stress termasuklah seperti apa yang saudari nyatakan diatas iaitu sakit-sakit sendi dan tulang, pening kepala, sesak nafas, dada terasa ketat, gangguan tidur, perubahan pada mood, mudah lupa, gastrik dan juga pertambahan berat badan.

Andai tidak ditangani dengan betul, ia boleh membawa kepada masalah seperti serangan sakit jantung, kanser, tekanan perasaan dan bunuh diri, penyakit hati, kemalangan jalan raya dan juga yang berkait dengan sistem pernafasan.

Selain itu, terdapat juga kemungkinan bahawa mereka yang mempunyai simptom stress sebenarnya mengalami masalah perubatan seperti kencing manis, masalah kelenjar tiroid, kanser ataupun gangguan psikologi (anxiety, depression). Walaubagaimanapun, berdasarkan penerangan saudari, saya rasa ia lebih kepada masalah berkait dengan stress.

Cara Menangani Stress

Untuk menangani stress, pertama sekali adalah penting untuk seseorang mengenal pasti punca stress. Punca stress adalah pelbagai dan setiap orang tidak semestinya mempunyai tahap menangani stress yang sama.

Setelah mengetahui punca-punca berlaku stress, maka langkah menanganinya dapat dielakkan. Dalam kes saudari, saudari telah dapat mengesaninya iaitu berpunca daripada tekanan kerja dan ia juga mungkin dipengaruhi faktor-faktor lain seperti gangguan emosi, hubungan antara rakan dan keluarga serta datang haid.

Seterusnya, saudari perlu memberikan keyakinan pada diri sendiri bahawa saudari mampu menghadapi cabaran yang mendatang. Setiap kali bangun dari tidur, ambil masa beberapa minit untuk bermeditasi dan meyakinkan diri anda sendiri.

Sentiasa berfikiran positif dalam hidup saudari!

Apabila berhadapan dengan masalah ditempat kerja, amalkan teknik pernafasan dengan betul. Cari tempat lapang yang selesa dan pejamkan mata dan tarik nafas sedalam-dalamnya dan lepas. Tenangkan fikiran dan yakinkan hati bahawa saudari boleh mengatasinya.

Jika berlaku pertengkaran, adalah lebih baik saudari menyelesaikannya dengan baik dan segera dan elakkan dari menyimpan ia terlalu lama. Memendam masalah terlalu lama boleh menyebabkan anda burst out. Jika perlu, gunakan orang tengah untuk membantu anda.

Elakkan juga dari menangguh kerja anda dan siapkan mengikut dateline yang ditetapkan. Pastikan meja dan fail-fail anda disusun dengan kemas dan teratur bagi memudahkan anda mencarinya.

Untuk mengelakkan penat yang melampau, saudari bolehlah menggunakan masa rehat diwaktu tengah hari untuk tidur sebentar dalam jangka masa 30 minit. insyaALLAH ia boleh memberikan kesegaran pada anda.

Selain itu, amalkan juga gaya hidup sihat seperti tidak merokok, makan makanan seimbang, mengamalkan kehidupan beragama dan mendekatkan diri dengan tuhan serta bersukan.

Sebolehnya juga saudari mempunyai teman baik yang boleh saudari kongsikan masalah dengan beliau. Elakkan menelan segala masalah yang berlaku seorang diri. Bersosial dengan rakan-rakan juga adalah penting dan carilah rakan-rakan yang berkelakuan positif dalam kehidupan mereka.

Teknik perbincangan secara berkumpulan ataupun dinamakan sebagai group therapy juga berkesan dalam menangani masalah stress. Untuk menjadikan ia lebih berkesan, lakukan group therapy di tempat-tempat rekreasi seperti taman, sungai dan sebagainya. Setiap ahli hendaklah mempunyai motivasi yang tinggi untuk membantu diri dan rakan-rakan.

Penggunaan supplement juga boleh diamalkan tetapi harus dipastikan kesesuaiannya dengan anda. Dapatkan nasihat dari ahli farmasi atau doktor anda sebelum menggunakannya.

Apabila pulang ke rumah, saudari juga boleh menggunakan teknik relaxation dengan cara bermeditasi dengan diiringi bunyi-bunyi instrumental berunsurkan alam seperti bunyi ombak, kicauan burung ataupun alatan muzik yang harmoni dengan anda. Pejam mata dan kosongkan fikiran anda dari memikirkan segala masalaha dan tarik nafas sedalam-dalamnya dan hembus dengan perlahan. Yakinkan diri anda bahawa anda tidak stress dan berada dalam keadaaan sejahtera. Terapi ini boleh diamalkan untuk tempoh 15-30 minit. Untuk mempelajari teknik ini secara lebih mendalam, anda bolehlah merujuk pakar psikiatri.

Penggunaan ubat-ubatan seperti panadol ataupun ubat tahan sakit sebenarnya tidak perlu melainkan anda benar-benar tidak dapat menahan sakit. Pastikan penggunaan ubt-ubatan ini mengikut dos yang ditetapkan oleh doktor.

Sekali sekala, ambil cuti untuk melancong bagi mengurangkan serabut anda.

Kaunseling

Andai kesemua langkah-langkah diatas tidak berhasil, anda boleh mengadakan temujanji dengan pakar kaunseling untuk membincangkan masalah anda. Sekiranya perlu, anda juga boleh bertemu dengan pakar psikiatri untuk membantu anda. Bertemu dengan pakar psikiatri tidak bererti anda mempunyai masalah mental, tetapi ia lebih kepada sesi konsultasi dan mendapatkan nasihat. Jika perlu, mereka mungkin akan memberikan beberapa jenis ubat kepada anda termasuklah pil penenang.

Wallahu’allam

Dr Muhamad Na’im B. Ab Razak (MD USM)
http://jacknaim.blogspot.com

Comments (2)

Terima kasih diatas penjelasan tuan, Insya Allah akan ikut nasihat tuan

adoi tuan oooit..kalulah keadaan ditempat keja saya tu mudah memaaf senanglah, nih muka senyum tapi masih simpan dendam, walhal kite dh tak simpan apa2 pun..org tualah plk tu..huhu pejam mata tarik nafas pun belum tentu..hilng stress…

Post a comment

[ Online : 1796 hari. ]