Tiga Golongan Masuk Syurga Tanpa Hisab.

Ali bin Husain r.a (cucu Saidina Ali k.w) berkata : “Jika Allah SWT mengumpulkan orang-orang yang terdahulu dan yang akhir, maka ada seruan yang memanggil : ‘Dimanakah orang ahlul fadhli? Lalu bangkit beberapa orang yang langsung menuju ke syurga, maka disambut oleh malaikat dan ditanya : ‘Hendak ke mana kamu?’ Jawab mereka : ‘Ke syurga.’ Di tanya lagi : ‘ Sebelum di hisab?’ Jawab mereka : ‘Ya sebelum hisab.’ Lalu ditanya: ‘Siapakah kamu?’ Jawab mereka :’Kami ahlul fadhli.’ Lalu ditanya : ‘Apakah kelebihanmu di dunia? ‘ Jawab mereka :’Kami jika diganggu orang kami maafkan dan jika diperbodohkan orang kami bersabar.’ Maka berkata makaikat :’Masuklah kamu ke syurga maka sebaik-baik pahala yang telah beramal’.”
Kemudian ada seruan : “Di manakah ahli sabar.’ Lalu berdiri sebahagian orang dan terus menuju ke syurga. Maka ditanya oleh malaikat : ‘Kamu hendak kemana?’ Jawab mereka :’ Ke syurga,’ Di tanya : ‘Adakah sebelum hisab?’ Jawab mereka :’Ya sebelum hisab.’ Lalu ditanya : ‘Siapakah kamu?’ Jawab mereka : ‘Kami ahli sabar.’ Lalu ditanya :’Bagaimana kesabaranmu?’ Jawab mereka : ‘Kami sabar buat taat , dan sabar meninggalkan maksiat.’ Maka berkata malaikat ;’Silakan masuk syurga , maka sebaik-baik pahala bagi yang beramal.’


Kemudian ada seruan : “Di manakah tetangga Allah SWT.?’ Lalu bangun beberapa orang dan langsung menuju ke syurga. Maka ditanya malaikat: ‘Kamu hendak kemana?’ Jawab mereka :’Ke syurga.’ Di tanya : ‘Apakah sebelum hisab ?’ Jawab mereka : ‘Ya’ Lalu ditanya : ‘Siapakah kamu? Jawab mereka : ‘ Kami tetangga Allah SWT di bumi.’ Lalu ditanya :’Bagaimana keadaan tetanggamu?’ Jawab mereka :’Kami cinta -mencinati kerana Allah SWT dan korban -berkorban kerana Allah SWT dan sambung-menyambung kerana Allah SWT . Maka berkata malaikat : ‘Masuklah kamu ke syurga maka sebaik-baik pahala bagi orang yang beramal’.”
(Petikan daripada Himpunan Hadis Modal Insan 2, Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri : Telaga Biru Sdn Bhd -Cetakan Pertama 2007)
Berdasarkan riwayat di atas daripada Ali bin Husain r.a, terdapat tiga golongan manusia yang akan masuk syurga tanpa hisab. Golongan tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Golongan Ahli Fadhli.
Kedua : Golongan Ahli Sabar.
Ketiga : Golongan Tetangga Allah SWT.
Huraiannya :
Pertama : Golongan Ahli Fadhli.
‘Kami jika diganggu orang kami maafkan dan jika diperbodohkan orang kami bersabar.’
Ciri-ciri mereka adalah seperti berikut :
Firman Allah SWT maksudnya : “Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pengasih (Ibadur rahman) itu adalah orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka (dengan kata-kata yang menghina) mereka mengucapkan “salam”. (Surah al-Furqan (25) ayat 63)
Firman-Nya lagi yang bermaksud : “..Dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui (saja) dengan menjaga kehormatan dirinya. (Surah al-Furqan (25) ayat 72)
Orang mukmin yang termasuk dalam golongan Ahli Fadhil adalah mereka yang sabar di atas gangguan daripada orang-orang kafir, zalim, munafik dan fasik yang sentiasa menganggu mereka apabila mereka ingin menghayati dan melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan Allah SWT ketika di dunia ini.
Mereka yang dimurkai Allah SWT ini sentiasa menghalang, menyekat dan menimbulkan fitnah dan memperbodohkan kepada Ahli Fadhil ini tetapi mereka bersabar dan teruskan dakwah dan tarbiah tanpa memperdulikan mereka, dan mereka sentias memaafkan golongan yang jahil ini supaya Allah SWT memberi hidayah dan taufik kepada mereka dan kembali kepada Allah SWT. Sebahagian mereka ditangkap dan dipenjarakan kerana kebenaran yang mereka bawa tetapi mereka tetap bersabar menghadapi dugaan ini. Kemulian untuk mereka dapat memasuki syurga tanpa hisab.
Kedua : Golongan Ahli Sabar.
‘Kami sabar buat taat , dan sabar meninggalkan maksiat.’
Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab” (Surah az-Zumar: 10)
Berdasarkan ayat di atas mereka yang bersabar akan diberikan pahala tanpa hisab, hinggakan di izinkan masuk ke syurga tanpa hisab. Sabar yang paling tinggi adalah sabar melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT tanpa soal dan sabar meninggalkan maksiat dan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah SWT.
Golongan Ahli Sabar adalah mereka yang sabar menahan diri daripada keluh kesah pada sesuatu yang tidak disukai.
Sifat sabar perlu ketika menghadapi tiga perkara berikut:
1. Menahan diri daripada keluh kesah dan menahan diri daripada mengadu kepada yang lain selain daripada Allah SWT ketika berlaku sesuatu bala atau bencana.
2. Menahan diri dalam mengerjakan segala perintah Allah.
3. Menahan diri dalam meninggalkan segala larangan Allah.
Sifat sabar itu dipuji pada syarak kerana seseorang yang bersifat sabar menunjukkan ia beriman dengan sempurna kepada Allah, dan menunjukkan ia taat dan menjunjung segala perintah agama.
Orang yang beriman kepada Allah mengetahui bahawa segala perkara yang berlaku ke atas drinya adalah kehendak Allah yang tidak dapat dielak lagi. Begitulah juga orang yang taat, tidak akan merasa susah dalam mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan laranganNya.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah SAW bersabda: “Orang mukmin sama ada lelaki ataupun perempuan akan sentiasa diuji oleh Allah SWT, sama ada dirinya, anaknya ataupun hartanya sehinggalah dia menghadap Allah SWT tanpa dia membawa dosa sedikitpun.” (Hadis riwayat Tirmizi).
Ketiga : Golongan Tetangga Allah SWT.
‘Kami cinta -mencinati kerana Allah SWT dan korban -berkorban kerana Allah SWT dan sambung-menyambung kerana Allah SWT.
Di dalam hadis Qudsi yang bermaksud:
“Dimanakah orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanku pada hari ini, Aku perlindungi mereka dibawah naungan Ku pada hari yang tiada lagi naungan kecuali naungan-Ku” (Hadis Riwayat Muslim)
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muaz dari Rasulullah S.A.W baginda bersabda: “Allah Azzawajalla berfirman: orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanku, mereka mempunyai beberapa-beberapa mimbar dari cahaya, sangat dicita-citakan tempat-tempat mereka itu oleh para Nabi, Shiddiqin dan Syuhada.” (Riwayat At-Tirmidzi, Ahmad, Ibnu Hibban, Hakim)
Dalam Hadis Qudsi yang lain diriwayatkan oleh Ubadah As-Sahamit:
“Kasih sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang cinta mencintai keranaKu. Kasih-sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang sering memperhubungkan tali silaturahim keranaKu. Kasih sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang saling bernasihat keranaKu. Kasih sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang saling berziarah keranaKu. Kasih sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang saling bantu membantu keranaKu. Orang yang cinta mencintai keranaKu berada di atas mimbar-mimbar dari cahaya, sangat dicita-citakan tempat-tempat mereka itu oleh para Nabi, Siddiqin dan Syuhada.” (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban, Hakim, Qudha’i)
Betapa mulianya Golongan Tetangga Allah SWT ini mereka di dunia saling cintai mencintai kerana Allah SWT, sangup berkorban untuk sahabatnya yang memerlukan bantuan dan saling menghubungkan silaturahim semata-mata kerana Allah SWT. Mereka bertemu dan berpisah semata-mata kerana Allah SWT. Mereka bertemu semata-mata untuk menjalankan amar makruf nahi mugkar, untuk dakwah dan tarbiah. Mereka sanggup berkorban harta, masa dan tenaga semata-mata untuk menegakkan Islam dimuka bumi ini dan mengajak manusia supaya meninggalkan sistem hidup jahilah yang menyesatkan manusia yang lain.
Dalam hadis yang lain bahawa mereka yang bertemu dan berpisah semata-mata kerana Allah SWT akan mendapat perlindungan Arash di hari akhirat nanti :
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah:…. Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah…”(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ibnu Majah)
Beruntunglah golongan Tetangga Allah SWT ini yang akan masuk ke syurga tanpa hisab.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *