Nasib ibu Si Tanggang

1

Category : Apa dah jadi

KUANTAN: Nasib seorang ibu tunggal dari Kampung Kubang Buaya di sini, tidak ubah seperti kisah ibu Si Tanggang apabila dia bukan saja dimaki-hamun anak kandung, malah turut dihalau insan yang dilahirkannya.

Lebih menyedihkan apabila anak yang pernah ditatang bagai minyak yang penuh satu ketika dulu, sanggup memanggilnya dengan gelaran babi, malah tidak mengaku lahir daripada rahim ibunya.

Ibu tunggal malang itu, Zaiton Jaafar, 57, mendakwa anak sulungnya yang dahulunya baik mula berubah sikap sejak suaminya meninggal dunia hampir 19 tahun lalu.

“Saya isteri ketiga kepada arwah suami dan mempunyai dua anak hasil perkongsian hidup, namun anak perempuan saya yang juga anak kedua meninggal dunia akibat ketumbuhan dalam otak kira-kira tujuh tahun selepas kematian suami.

“Saya berkahwin lain setahun selepas kematian suami dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 17 tahun,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, suami keduanya menghilangkan diri kira-kira 16 tahun lalu dan sejak itu dia tinggal bersama anak lelaki sulung (hasil perkongsian hidup dengan suami pertama) yang berusia 32 tahun serta anak ketiga (dengan suami kedua) di rumah peninggalan suami pertamanya.

Najib ulangi serah maruah kepada Singapura

0

Category : Apa dah jadi

Tindakan menyerahkan tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar, Singapura tidak memeranjatkan kerana pulau Singapura sendiri pun telah diberikan begitu sahaja oleh pemimpin Umno sebelum ini kepada Lee Kuan Yew.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan penyerahan stesen KTMB Tanjung Pagar itu sebagai ulangan penyerahan Singapura pada 9 Ogos 1965.
“Pada 6 Februari 1819, Sultan Hussein dan Temenggong Abdul Rahman menyerahkan Singapura untuk dijadikan tanah jajahan British melalui perjanjian dengan Stamford Raffles.
“Pada 9 Ogos 1965 pula, Perdana Menteri dan Presiden Umno waktu itu menyerah kalah kepada tipu muslihat politik Kuan Yew lalu menyerahkan Singapura begitu sahaja kepada pemimpin Singapura.
“Dan, Isnin lalu, pada 24 Mei 2010, Perdana Menteri dan Presiden Umno hari ini, (Datuk Seri) Najib melengkapkan penyerahan itu sambil mempersalahkan Perkara-Perkara Yang Dipersetujui (POA) yang ditandatangani pada 1990 sebagai alasan untuk melengkapkan penyerahan maruah kepada Singapura itu,” katanya.
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mendakwa, perjanjian antara Najib dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong itu adalah jauh lebih baik berbanding pengunduran operasi KTMB secara berperingkat mengikut POA.
Mahfuz mempersoalkan, mengapa pengikut-pengikut Najib termasuk Abdul Ghani kelihatan mempersalah dan menggunakan alasan POA untuk mewajarkan perjanjian Isnin lalu.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim pula, POA yang digariskan Tun Daim Zainuddin, Menteri Kewangan ketika itu, sebenarnya tidak mendapat persetujuan kabinet.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu sependapat dengan pandangan pelbagai pihak supaya Najib membentangkan laporan khas mengenai perkara itu dalam sesi Parlimen akan datang.
Beliau kecewa dengan sikap Najib yang bertindak sama seperti Perdana Menteri sebelum ini, Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menyerahkan wilayah Malaysia di Blok L dan M kepada Singapura.

Polis tahan dua pelajar disyaki tanam bayi

0

Category : Apa dah jadi

MELAKA: Polis menahan dua pelajar berusia belasan tahun, selepas disyaki terbabit menanam hidup-hidup seorang bayi yang baru dilahirkan di Taman Melaka Baru, Batu Berendam, dekat sini, pertengahan minggu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, kedua-dua remaja itu ditahan sejurus selepas ibu pelajar perempuan berkenaan membuat aduan mengenai anaknya yang bersalin tanpa pengetahuan beliau, pada awal pagi Rabu lalu.
Katanya, sejurus penahanan itu, pelajar lelaki dipercayai pasangan remaja yang bersalin itu membawa polis ke sebuah lokasi berhampiran sungai di taman berkenaan, bagi menunjukkan tempat bayi berkenaan ditanam.
“Polis menemui mayat bayi ditanam itu berhampiran sebatang sungai, dipercayai dilahirkan pelajar perempuan itu pada kira-kira jam 4 pagi.
“Mayat bayi itu kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan hasilnya mendapati, bayi yang cukup sifat itu masih hidup ketika dilahirkan selain terdapat beberapa kesan lebam di bahagian kepala,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Serah dua telaga minyak suatu penderhakaan

0

Category : Apa dah jadi

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Perlembagaan Malaysia tidak membenarkan mana-mana wilayah Malaysia diserahkan pada pihak luar, maka perbuatan kabinet menyerahkan dua blok pengeluaran minyak luar pantai Malaysia-Borneo kepada Brunei Darussalam dianggap perbuatan derhaka kepada kedaulatan negara.
“Kalau Perkara 2, Perlembagaan (Persekutuan) Malaysia sendiri pun tidak membenarkan mana-mana wilayah dalam kedaulatan kita (Malaysia) diserahkan kepada negara luar walaupun melalui Parlimen, inikan pula Blok M dan (Blok) L sewenang-wenangnya diserahkan pada Brunei hanya melalui kelulusan kabinet sahaja.
“Ini bagi saya suatu penderhakaan kepada negara kerana Perlembagaan memperlihatkan bahawa tidak pernah ada tolak ansur dalam melepaskan kedaulatan negara,” ujarnya pada sidang media di lobi Dewan Negara, tengah hari ini.
Turut serta ialah Senator Mohd Yusof Husin dan Senator Mumtaz Mohd Nawi.
Menurut beliau, Perkara 2 Perlembahaan Persekutuan hanya membenarkan Parlimen membuat ketetapan untuk menerima masuk mana-mana negeri dalam Persekutuan.
Perkara 2 juga, menurut Mahfuz, membenarnya Parlimen membuat persempadanan semula negeri-negeri di bawah Persekutuan, dengan syarat mesti terlebih dahulu mendapat persetujuan Dewan Undangan Negeri (Dun) serta Majlis Raja-raja.
Mengambil kes persempadanan semula Wilayah Persekutuan Putrajaya, beliau berkata, kerajaan Pusat akhirnya akur dengan mendapatkan persetujuan Dun Selangor dan Sultan Selangor, walaupun pada awalnya kerajaan Pusat terus masyhurkan suatu kawasan dalam negeri Selangor sebagai ‘Persekutuan’.
Disebabkan itu, dengan merujuk pada pengakuan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjelaskan bahawa penyerahan dua telaga minyak tersebut diluluskan oleh kabinet, beliau menggesa kerajaan Pusat menjelaskan kaedah yang digunakan oleh Kuala Lumpur ketika memeterai perjanjian persefahaman dengan Bandar Seri Begawan.

Remaja perempuan rompak nenek sendiri

0

Category : Apa dah jadi

MUAR: Seorang remaja perempuan berpakat bersama dua rakannya merompak neneknya sendiri dengan menyerkup kepala menggunakan anak tudung dan mengikat tangan dengan cebisan kain dipintal, sebelum melarikan barang kemas serta wang tunai bernilai RM1,000 di Kampung Jawa Panchor di sini, pagi semalam.

Remaja perempuan berusia 14 tahun itu diamanahkan oleh ibu bapa yang tiada di rumah untuk menjaga mangsa berusia 75 tahun tetapi dia membuat perancangan dengan seorang wanita berusia 40 tahun dan remaja lelaki berumur 15 tahun menyamun neneknya pada jam 11 pagi.

Mangsa yang trauma akibat kejadian itu menceritakan pada hari kejadian ketika beliau sedang berehat bersama cucunya kedua-dua suspek memberi salam sebelum dibenarkan masuk oleh cucunya.

“Saya kenal wanita itu kerana dia berkawan rapat dengan cucu saya selain sering berkunjung ke rumah. Saya ingatkan mereka datang untuk menemui cucu saya, namun tiba-tiba seorang daripada mereka menekup muka saya menggunakan sehelai kain. Saya terkejut dan cuba melawan tapi gagal.

Lelaki mati gantung diri

0

Category : Apa dah jadi

KOTA MASAI – Gara-gara putus cinta, seorang lelaki berusia 29 tahun bertindak menggantung dirinya di rumahnya, Jalan Tembikai, Taman Kota Masai, di sini kira-kira jam 5 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Roslan Zainuddin berkata, anggota polis bergegas ke rumah mangsa selepas menerima maklumat mengenai seorang lelaki menggantung diri.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa telah meninggal dunia dan mayat yang tergantung di tangga ruang tamu rumah telah diturunkan oleh rakan serumahnya.

“Mangsa bekerja sebagai pekerja am di sebuah kilang di Pasir Gudang dan berasal dari Felda Tenggaruh Selatan, Kota Tinggi menggantungkan dirinya menggunakan selimut di tangga ruang tamu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Dua anak halau ibu

0

Category : Apa dah jadi

KLANG: Keluarga tunggang terbalik. Itu gambaran boleh diberikan terhadap sebuah keluarga apabila suami bersama dua anak lelakinya sanggup bersekongkol menghalau ibu kandung dari rumah, semata-mata kerana membela perempuan simpanan bapa mereka.

Tidak cukup kata-kata kesat dan cacian, mangsa turut mendakwa dipijak, ditendang di kepala, perut dan kemaluan oleh suami berusia lewat 40-an bersama perempuan simpanan terbabit ketika mahu mempertahankan rumah tangganya daripada musnah.

Difahamkan, mangsa yang enggan meninggalkan rumahnya, dibelasah lebih empat jam dengan disaksikan kedua-dua anaknya di hadapan rumah mereka di sini.

Namun, harapannya untuk mendapat pembelaan daripada kedua-dua anak kandung berusia 14 dan 12 tahun turut lenyap apabila mereka menyebelahi bapa dan perempuan simpanan lelaki terbabit, membuatkan ibu berkenaan terpaksa mengalah sebelum meninggalkan rumah sehelai sepinggang.

Difahamkan, perempuan simpanan berusia awal 30-an itu mempengaruhi kedua-dua anak mangsa yang sudah tidak bersekolah itu dengan melaburkan wang ringgit dan kekayaan dimilikinya selain pasangan kekasih terbabit dikatakan ‘menyihir’ kedua-dua remaja berkenaan supaya membenci ibu mereka.

Perkosa rakan dalam kelas

0

Category : Apa dah jadi

RAWANG: Seorang pelajar lelaki tingkatan dua yang tidak dapat mengawal nafsu serakahnya sanggup menyerang dan memperkosa rakan sekelasnya dalam bilik darjah.

Difahamkan pelajar terbabit mengambil kesempatan memperkosa mangsa yang juga penghuni sebuah rumah kebajikan ketika semua rakan sekelasnya keluar ke kantin ketika waktu rehat.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata dalam kejadian jam 3.35 petang, Selasa minggu lalu, mangsa berada bersendirian dalam kelas bersama suspek yang dipercayai menunggu peluang untuk memperkosa mangsa.
Menurutnya, suspek tiba-tiba menghampiri mangsa sebelum memperkosa dan meninggalkannya dalam kelas.
Bagaimanapun, mangsa yang ketakutan dan malu enggan menceritakan apa yang berlaku kepada guru dan rakannya.
“Mangsa yang tinggal di rumah kebajikan pulang dari sekolah sebelum menceritakan kisah hitam dialami kepada seorang kakitangan di rumah kebajikan berkenaan,” katanya.

Jenayah seks meningkat 50 peratus

0

Category : Apa dah jadi

KUALA LUMPUR: Jumlah kes jenayah keganasan seks, termasuk liwat dan sumbang mahram yang dilaporkan meningkat hampir 50 peratus dalam tempoh lima tahun bermula 2005.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pada tahun lalu sejumlah 4,238 kes jenayah keganasan seks termasuk rogol, liwat dan sumbang mahram dilaporkan berbanding 2,427 kes yang dicatat pada 2005.

Pada 2006 pula, sejumlah 2,943 kes jenayah berkenaan dilaporkan diikuti 3,689 (2007) dan 3,986 (2008), katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Asiasoft: Ujian genting bagi Hishammuddin

0

Category : Apa dah jadi

KUALA LUMPUR, 10 April: Pembabitan dua agen perisik zionis-Israel seperti yang didedahkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen kelmarin seolah-olah menjadi ujian yang genting bagi Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Dalam Negeri.

Rakyat tentunya sedang menghitung pendiriannya ke atas Asiasoft (M) Sdn. Bhd., firma kejuruteraan komunikasi yang didaftar di Singapura, tetapi berpangkalan di Tel Aviv Israel.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno seolah-olah sedang dibandingkan dengan Menteri Dalam Negeri sebelumnya, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar.

“Alasan bagi membatalkan kontrak hanya akan diberi pertimbangan jika ada bukti kukuh ancaman terhadap keselamatan negara,” Anwar membaca kenyataan Syed Hamid seperti yang diminitkan dalam suatu menyuarat khas pada 23 November dua tahun lalu, di bilik Tetamu Kehormat, KLIA.

Dari kenyataan Anwar di Dewan Rakyat, Syed Hamid dan Kementerian Dalam Negeri sah menerima desakan dari dalam Bukit Aman sendiri supaya mengeluarkan Asiasoft dari membangunkan prasarana Sistem Laporan Polis (PRS).

[ Online : 913 hari. ]