Bukan mudah untuk membuat orang ketawa. Walaupun diri sendiri menanggung seribu satu dugaan atau kesakitan, namun demi title sebagai pelawak, segala kedukaan perlu dipendam sahaja.
Kelmarin, kita kehilangan seorang lagi pelawak yang sangat berbakat. Pemilik nama Meor Ahmad Fuad Meor Badri atau lebih dikenali sebagai Din Beramboi. Kehilangan yang amat dirasai.
Allahyarham Din Beramboi telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang Selasa lalu kerana demam panas telah meninggal dunia pada jam 12.35 malam setelah disyaki terkena virus kencing tikus (leptospirosis) dan kemudiannya disahkan menghidap Dengue Shock Syndrome (denggi berdarah).
Dalam usia 44 tahun, Allahyarham sudah selesa berada di gelanggangnya tersendiri. Bermula pada awal 1990-an apabila kaset celoteh rakamannya mendapat sambutan begitu menggalakkan.
Biarpun pada awalnya tidak tahu kaset itu telah disebarkan kerana ia hanyalah rakaman yang dibuat secara suka-suka, namun dari situlah bermulanya kerjayanya sebagai pelawak.






