
Gambar keadaan gempa bumi di padang
Pihak berkuasa Indonesia menggali kubur besar untuk menguburkan korban gempa bumi yang merosakkan sebahagian besar bandar Padang minggu lalu.
Kubur yang digali di perkuburan Tunggul Hitam adalah untuk mengebumikan 11 mayat yang ditemui di bawah runtuhan Hotel Ambacang.
Operasi menyelamat di hotel itu gagal menemui mangsa gempa yang hidup.
Pasukan penyelamat membayangkan peluang menemui mangsa yang hidup di bawah runtuhan bangunan di Padang amat tipis dan 3,000 penduduk yang masih hilang mungkin terbunuh.
Menteri Kesihatan, Siti Fadillah Supari berkata, jumlah kematian dijangka mencecah lebih 3,000 orang.
Pada masa sama, beliau menyuarakan kebimbangan merebaknya wabak penyakit di Padang yang kini dicemari bau busuk mayat reput.
“Kami cuba mencari mangsa di bawah runtuhan sama ada hidup atau mati.
“Kami cuba membantu mereka yang cedera dan memimimumkan jumlah korban selepas gempa bumi,” katanya.
Pasukan penyelamat kini dilapor melaksanakan pemeriksaan terakhir di bawah runtuhan bangunan di Padang.
“Kami kini melakukan pemeriksaan terakhir sebelum mengumumkan operasi penyelamat dibatalkan.
“Peluang menemui mangsa yang hidup pada masa ini amat tipis dan operasi menyelamat mungkin hampir tiba ke penghujung,” kata jurucakap pasukan penyelamat Britain, Rapid UK, Peter Old.
Agensi bencana menganggarkan 20,000 bangunan rosak akibat gempa bumi itu dan kebanyakan bangunan pejabat turut musnah.
“Kerosakan infrastruktur yang meluas menyukarkan untuk membangunkan semula bandar ini,” kata jurucakap Pertubuhan Palang Merah, Eko Suhadi.
Bagaimanapun, kedai-kedai yang tidak rosak dilapor mula dibuka semula-hmetro