PARIS: Seramai 2,000 orang terbunuh di Libya selepas pemimpinnya, Muammar Gaddafi mengizinkan anggota keselamatan mengganas bagi menghentikan protes antipemerintah, kata seorang menteri kanan Itali dan bekas pegawai kanan Tripoli.
Ini didedahkan oleh duta hak asasi Perancis, Francois Zimeray dalam wawancara dengan agensi berita.
“Kekacauan dan pertumpahan darah itu umpama pengusiran pengikut Nabi Musa oleh Firaun,” kata Menteri Luar Itali, Franco Frattini sambil meramalkan beribu-ribu warga Libya akan lari ke negaranya.
Awalnya, angka korban itu didedahkan oleh ketua protokol Muammar Gaddafi, Nouri el-Mismari, sambil menambah lebih 600 daripada mangsa terbunuh di Tripoli.
Mismari yang berkunjung ke Perancis lewat tahun lalu atas alasan kesihatan, berkata pemberontakan itu setakat ini menyebabkan ‘lebih 1,000 orang maut di seluruh Libya’ namun tidak menjelaskan sumber anggaran.
Selasa lalu, rejim Libya berkata, 300 orang terkorban dalam bantahan, namun Persekutuan Hak Asasi Antarabangsa (IFHR) pula melaporkan sekurang-kurangnya 640 orang maut.








