PAGOH: Kementerian Pelajaran akan mencadangkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan bagi membolehkan pelajar di negara ini menduduki hanya satu peperiksaan awam sepanjang 11 tahun persekolahan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata cadangan pemansuhan peperiksaan itu kepada kerajaan akan mengubah sistem pendidikan negara yang kini terlalu berorientasikan peperiksaan menyebabkan matlamat melahirkan modal insan serba boleh yang mempunyai keterampilan tinggi gagal dicapai.
Bagaimanapun katanya, kedua-dua peperiksaan itu mungkin juga diteruskan, tetapi bukan lagi berstatus peperiksaan awam seperti sekarang, sebaliknya dijadikan penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah saja.
“Pihak kami sedang fikirkan sama ada akan kekalkan atau perlu hanya satu saja peperiksaan awam, seperti (contohnya) pada peringkat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saja.
“Jika kita terlalu menjurus kepada peperiksaan, ia akan menyebabkan matlamat ke sekolah untuk menuntut ilmu, lebih kreatif dan menambah pengetahuan secara lebih holistik tidak akan dicapai sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pagoh, di Kompleks Seri Pekembar, di sini, semalam.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, cadangan mengekalkan satu peperiksaan saja pada peringkat sekolah itu juga berkaitan dengan langkah kementerian untuk merombak sistem pendidikan dan mengubah bentuk kokurikulum di peringkat sekolah.







