JOHOR BAHRU 19 Nov. – Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2009 negeri ini didapati mengatasi pencapaian peringkat kebangsaan dalam tiga aspek.
Pengarah Pelajaran Johor, Sufa’at Tumin berkata, daripada aspek kualiti, UPSR 2009 adalah rekod terbaik Johor apabila Gred Purata Sekolah (GPS) pada tahun ini mencatatkan 2.21 mata, iaitu meningkat 0.01 mata berbanding tahun lalu.
“Secara keseluruhan, pencapaian calon tahun ini sangat membanggakan. Daripada 62,401 calon yang menduduki peperiksaan, sejumlah 6,283 orang (10.13 peratus) mendapat Gred A dalam semua mata pelajaran,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, pencapaian calon cemerlang itu didapati meningkat berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 9.64 peratus membabitkan 5,987 orang.
Pada 2007 hanya 8.64 peratus atau 5,265 calon mendapat 5A; 2006 (7.56 peratus atau 4,609 orang) dan 2005 sebanyak 6.03 peratus atau 3,667 orang.
Menurutnya, daripada jumlah calon cemerlang yang mendapat semua A, calon Sekolah Kebangsaan (SK) adalah 4,246 orang (10.64 peratus), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) 1,881 orang (9.47 peratus) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) adalah 156 orang (6.97 peratus).
Antara SK yang cemerlang adalah SK Convent, Muar; SK Infant Jesus Convent, Johor Bahru; SK (P) Sultan Ibrahim, Johor Bahru.
Sementara itu, SJKC yang cemerlang adalah SJKC Ai Chun 2, Batu Pahat; SJKC Chian Kuo, Muar dan SJKC Foon Yew 2, Johor Bahru manakala SJKT cemerlang adalah SJKT Ladang Lanadron, Segamat; SJKT Batu Anam, Segamat dan SJKT Jalan Khalidi, Muar.
“Kalau dinilai daripada prestasi mata pelajaran, hampir keseluruhan peratusan penguasaan mengatasi pencapaian nasional.
“Bagaimanapun peratusan penguasaan mata pelajaran Bahasa Melayu Penulisan dan Bahasa Melayu Pemahaman SJK lebih rendah daripada pencapaian nasional,” katanya.
Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2009 negeri ini didapati mengatasi pencapaian peringkat kebangsaan dalam tiga aspek.
Pengarah Pelajaran Johor, Sufa’at Tumin berkata, daripada aspek kualiti, UPSR 2009 adalah rekod terbaik Johor apabila Gred Purata Sekolah (GPS) pada tahun ini mencatatkan 2.21 mata, iaitu meningkat 0.01 mata berbanding tahun lalu.