Posted by admin | Posted on 16-09-2009
Category : Kedah, Macam-macam hal
Tags: aidilfitri, akibat mercun
Seorang remaja berusia 15 tahun putus pergelangan tangan kirinya apabila mercun bola yang dikutipnya meletup secara tiba-tiba dalam kejadian di hadapan rumahnya di Kampung Teloi Tua, Sik petang semalam.
Berikutan kejadian sebelum waktu berbuka itu, Mohd Luqman Abidin, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Enggang, bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Hospital Sultanah Bahiyah di sini.
Dalam kejadian itu, mangsa menyalakan mercun yang dibeli di sebuah kedai di kampung itu dan mencampakkannya tetapi mercun itu tidak meletup dan mangsa mengutip semula mercun itu yang kemudiannya meletup ketika berada di tangan kirinya.
Ibu mangsa, Siti Zainab Che Din, 52, berkata selepas mercun itu meletup, Luqman berlari masuk ke dalam rumah dan menunjukkan tangan kirinya yang dipenuhi darah.
“Jiran sebelah rumah kemudiannya bergegas menghantar Luqman ke Hospital Sik,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah hari ini.
Siti Zainab berkata, Luqman kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah kerana keadaannya yang serius dan doktor yang merawatnya mengesahkan bahagian pergelangan tangan kiri dan jarinya terpaksa dipotong kerana hancur akibat letupan mercun itu.
Katanya, dia sudah melarang anaknya daripada bermain mercun sebelum itu tapi tidak diendahkan oleh anaknya.
“Makcik dah pesan, jangan main mercun tapi dia tetap teruskan juga,” katanya. – Bharian-