Oleh Shahrul Nizam Mohamad
Berang selepas mengetahui anak gadisnya berusia 18 tahun sering dilarikan teman lelaki, seorang bapa bersama rakannya nekad membakar rumah keluarga lelaki berkenaan bersama sebuah motosikal hingga hangus dalam kejadian di Kampung Kemuning, Mentakab, dekat sini.
Sebelum kejadian kira-kira jam 12 tengah malam, penghantar surat berusia 44 tahun itu bersama rakan berusia 41 tahun yang juga pemandu lori, dikatakan sanggup memandu pulang dari ibu negara untuk ke kampung berkenaan sebaik mengetahui anak gadisnya sekali lagi menghilangkan diri bersama teman lelakinya.
Sebaik tiba di rumah berkenaan, dia terus memarahi bapa teman lelaki anaknya sebelum berlaku pertengkaran.
Bagaimanapun, apabila masalah itu tidak dapat diselesaikan secara baik, dia terus membelasah bapa teman lelaki anaknya menggunakan getah paip hingga pengsan serta luka di badan.
Tidak cukup dengan itu, bapa terbabit yang dipercayai panas baran terus bertindak gila apabila menghumban motosikal mangsa ke dalam rumah sebelum membakar kediaman itu bersama kenderaan berkenaan hingga hangus membabitkan kerugian kira-kira RM80,000.
Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Zundin Mahmood, berkata mangsa yang berusia 43 tahun yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah di sini untuk menerima rawatan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan anak lelaki mangsa yang sering membawa keluar anak gadisnya.
Katanya, sebelum ini suspek beberapa kali memberi amaran supaya anak lelaki mangsa tidak terus mengganggu anak gadisnya, namun anak lelaki mangsa enggan menuruti arahan terbabit.
Beliau berkata, akibat kejadian itu, mangsa kerugian kira-kira RM80,000 selepas rumahnya hangus dibakar suspek bersama seorang rakan sebelum mereka melarikan diri ke ibu negara.
“Bagaimanapun, bertindak atas maklumat, polis menahan lelaki itu bersama rakannya ketika mereka berada di Cheras, Kuala Lumpur, kelmarin sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.
“Polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 436 kanun sama kerana melakukan perbuatan khianat,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini, anak perempuan suspek bersama teman