KUALA LUMPUR: Pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy semalam memfailkan permohonan writ habeas corpus bagi mencabar penahanan semulanya mengikut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, dua minggu lalu.
Permohonan itu difailkan peguam Amer Hamzah Arshad di Bahagian Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada jam 12.15 tengah hari. Ibunya, seniwati Azean Irdawaty turut hadir.
Melalui notis usul dan afidavit yang diikrarkan dalam permohonan itu, Benjy menamakan Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Benjy, 31, memohon perisytiharan penahanannya mengikut akta itu pada 25 Mac lalu tidak sah, salah dan berniat jahat. Sehubungan itu, pelakon berkenaan memohon perintah mahkamah supaya dia dibebaskan dengan serta-merta dan tidak ditahan semula.






