Selepas rundingan lebih empat jam hari ini, Universiti Malaya mengambil keputusan untuk menggantung sementara keputusan pilihan raya kampusnya yang diumumkan semalam.
Menurut bekas presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohd Ridzuan Mohammad, keputusan itu dipersetujui bersama oleh naib canselor, Ghauth Jasmon dan kumpulan pro-Mahasiswa (pro-M).
Ghauth juga bersetuju membenarkan kumpulan pro-M untuk melantik perunding bagi menguji sistem e-undi yang didakwa mereka dimanipulasikan.
Sekiranya dakwaan berkenaan berasas, Ghauth bersetuju pilihan raya kampus diadakan semula.
Ghauth juga berjanji akan menyiasat dakwaan yang timbalan naib canselor, Azarae Idris menyalah-gunakan kedudukannya dan terbabit memanipulasikan pilihan raya itu.
Selepas pengumuman butiran perbincangan itu, kumpulan pro-M berarak ke Dewan Tunku canselor untuk meraikan keputusan berkenaan.






