
SEPERTI organ lain, pemeriksaan buah pinggang harus dilakukan secara berkala iaitu enam bulan sekali.
LAZIMNYA, kegagalan fungsi buah pinggang atau ginjal seringkali dikaitkan dengan kencing manis atau tekanan darah tinggi.
Bagi penyakit radang buah pinggang, ia agak jarang diperkatakan walaupun saban waktu terdapat kes ini.
Turut dikenali sebagai glomerulonephritis (GN), Pakar Runding Nefrologi Pusat Perubatan Ampang Puteri, Datuk Dr. Zaki Morad Mohamed Zaher menjelaskan ia kerapkali berlaku pada golongan muda.
“Keradangan ginjal berlaku serta-merta iaitu mengambil masa hanya beberapa hari berbanding kerosakan ginjal yang biasanya memakan masa selama 10 hingga 15 tahun,” kata Zaki.
Biasanya, penyakit buah pinggang akut disebabkan oleh penyakit yang memberi kesan kepada buah pinggang, aliran darah atau air kencing yang mengalir keluar daripadanya.
Ujarnya, GN berlaku apabila terdapat kerosakan pada glomeruli iaitu sekumpulan kapilari yang berfungsi sebagai penapis ketika proses menyingkirkan bahan kumuh daripada darah dan masuk ke dalam tubules buah pinggang.
Perbezaan ketara penyakit ini dengan kegagalan buah pinggang yang lain ialah GN tidak melibatkan faktor makanan serta darah tinggi dan kencing manis.






