By Abdul Rahim Sabri
Walaupun Ibn Rushd menyentuh empat mazhab kalam dalam tulisannya, saya hanya menumpukan kepada kritikannya terhadap aliran al-Asya’irah yang dibawa oleh Imam al-Juwaini dan al-Ghazali.
Seperti yang dinyatakan dalam kitabnya, secara tidak langsung Ibn Rushd menolak pandangan Muktazilah, walaupun karya tokoh dari kumpulan tersebut tidak sampai ke Andalusia. Ini kerana metodologi Asya’irah dan Muktazilah hampir sama antara satu sama lain.
Secara ringkasnya, metodologi penting mazhab Asya’irah berhubung penjelasan mereka tentang ‘kebaharuan alam’ dengan membina kaedah perkara itu melalui “penyusunan jisim-jisim dari juzuk-juzuk yang tidak boleh dipisah-pisahkan” (tarkib al-Ajsam min ajzak la tatajazzak) atau dikenali sebagai al-Jauhar al-Fardi.
Ibn Rushd menyatakan kaedah tersebut tidak rasional sehingga sukar orang awam atau ahli falsafah (ulama) untuk memahami pemikiran mereka.






