SUNGAI PETANI: Seorang wanita mengalami detik ngeri apabila terpaksa bergelut dengan beberapa lelaki yang juga penarik kereta yang menceroboh kawasan rumahnya di Taman Petani Jaya, di sini, Sabtu lalu untuk merampas kereta miliknya.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, Norlieza Mohd Isa, 24, cedera di lengan kiri akibat ditoreh dengan pisau serta cedera di beberapa bahagian badan akibat dipukul kumpulan lelaki terbabit.
Menceritakan semula kejadian itu, Norlieza berkata, ketika kejadian dia berseorangan di rumah sewanya manakala rakannya keluar sebelum melihat dua kereta dinaiki enam lelaki berhenti di depan rumah.
“Empat daripada mereka kemudian bertindak membuka pintu pagar yang tidak berkunci sebelum menceroboh ke kawasan rumah serta membuka pintu kereta Proton Wiranya dengan mengumpil menggunakan peralatan tajam.
“Saya cuba menghalang mereka daripada merosakkan kereta sebelum seorang meminta kunci kereta. “Saya enggan memberinya kerana mereka tidak menunjukkan notis penarikan kereta daripada bank,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Menurutnya, kumpulan lelaki terbabit turut bertindak kurang ajar apabila menyatakan mahu merampas kereta itu untuk kegunaan mereka dan mahu menjual peralatan kereta itu bagi mendapatkan wang. Malah, mereka turut mencabarnya menghubungi polis apabila dia cuba menghalang perbuatan itu.






