CEMBURU lelaki memang meyeksakan. Jika cemburu kerana sayang, ia biasa. Tetapi jika cemburu sehingga menyeksa zahir dan batin si isteri, ini sudah boleh dikatakan mendera.
Dikurung, dipukul, diugut bunuh, dilarang untuk berjumpa adik-beradik, jiran-jiran, kawan-kawan bahkan dihabiskan duit titik peluh isteri adalah antara penderaan yang dialami oleh seorang suri rumah, Yusni (bukan nama sebenar) selama lima tahun berumahtangga.
Jiwanya cukup tertekan. Persekitaran hidupnya setiap hari adalah hanya di dalam sebuah rumah teres tiga bilik yang disewa di pinggir Kuala Lumpur.
Bersama tiga anaknya, Yusni berkurung tanpa dibenarkan keluar oleh suaminya.
Inilah rencah kehidupan Yusni gara-gara sikap cemburu dan egois suami, Arshad (bukan nama sebenar) Lebih memeritkan, Arshad seorang pengamal ilmu hitam.
Menurut Yusni ketika ditemui baru-baru ini, perkahwinan yang dibina atas dasar suka sama suka ini sebenarnya satu kesilapan paling besar yang pernah dilakukan dalam hidupnya.
Sikap tergesa-gesa untuk mengikat tali perkahwinan dengan jejaka yang baru dikenali, tanpa mengenali hati budi lebih mendalam rupanya membawa ke arah kehancuran pada dirinya
”Fikiran saya cetek pada waktu itu. Hanya kerana tidak mahu digelar anak dara tua kerana usia ketika itu telah pun lanjut, saya terus menerima lamaran daripada jejaka yang tidak dikenali hati budinya sedalam-dalamnya.
”Saya memikirkan jika saya tidak kahwin pada waktu itu, bila lagi kerana usia pun dah lanjut. Saya tidak mahu digelar anak dara tua. Saya juga ingin hidup seperti orang lain, punya anak dan suami.






