HAYATI, 30, sedang menunggu masa untuk melahirkan anak kedua.
Berdasarkan pengalaman ketika melahirkan anak pertama, dia terpaksa menghadapi sakit bersalin yang panjang sehingga terpaksa dimasukkan ubat untuk mempercepatkan proses kelahiran.
Untuk anak kedua, disebabkan tidak mahu mengulangi trauma seperti mana kelahiran anak pertama, selepas berbincang dengan doktor Hayati terus membuat keputusan untuk melahirkan anak menerusi kaedah Caesarean.
Walaupun rakan meminta dia mencuba untuk melahirkan anak secara normal, Hayati tetap dengan keputusannya.
Seiring dengan peredaran zaman, kebanyakan wanita seperti Hayati kini lebih gemar memilih cara melahirkan anak menerusi Caesarean (pembedahan) atau dalam bahasa pasarnya dikenali sebagai kelahiran ikut tingkap.
Ini diakui Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi yang juga Pengerusi Eksekutif Pusat Perubatan Primanora, Datuk Dr Nor Ashikin Mokhtar, mengenai kecenderungan wanita Malaysia terutama yang mengamalkan gaya hidup moden, lebih suka melalui proses kelahiran menerusi pembedahan atas sebab tertentu.






