*Dari buku: Saidina Mu`awiyah: Khalifah Rashid Yang Teraniya karangan Maulana Muhammad `Asri Yusuf.Hubungan Mesra Antara Muawiyah Dengan Ahlul Bait. Artikel asal oleh Maulana Mohd Asri Yusoff
Di antara tuduhan yang dilontarkan kepada Sayyidina Muawiyah r.a oleh puak Syiah ialah kononnya beliau telah melayani Bani Hasyim terutamanya di kalangan Ahlul Bait dengan buruk dan telah bertindak kejam terhadap mereka, selain daripada tidak pernah terjalinnya perhubungan yang baik di antara mereka dengan Muawiyah dan seterusnya khulafa’ daripada kalangan Bani Umaiyyah.
Alasan yang selalu dikemukakan ialah berpunca daripada gambar sejarah yang sememangnya bercampur baur di antara kebenaran dan kebatilan. Sebenarnya kita tidak hairan dengan riwayat sejarah yang memuatkan cerita-cerita seumpama itu apabila kita memeriksa perawi-perawi (pewarta-pewarta) yang merupakan sumber cerita-cerita itu.
Begitupun jika kita meneliti dengan cermat dan saksama terhadap fakta-fakta yang terdapat di dalam kitab-kitab sejarah samada ditinjau dari sudut riwayat mahupun dirayah dengan cepat akan teserlah di hadapan kita kepalsuan tuduhan-tuduhan itu. Kenyataan yang dapat disimpulkan daripada fakta-fakta sejarah itu amat bertentangan sekali dengan tuduhan yang terdapat di dalamnya. Ini ialah kerana tak mungkin boleh terjalinnya hubungan persemendaan sebagai menantu, besan, biras dan lain-lain di antara dua keluarga yang bermusuhan begitu sekali seperti yang tersebut di dalam kitab-kitab sejarah. Tidak mungkin juga orang-orang yang bermaruah seperti individu-individu daripada kalangan Ahlul Bait terutama Hasan dan Husain r.a boleh menerima hadiah-hadiah saguhati, cenderamata atau habuan daripada orang yang zalim dan kejam yang sentiasa merendahkan kehormatan mereka.






