KUALA LUMPUR: Hasrat seorang pemuda untuk menunaikan solat Subuh secara berjemaah buat pertama kali dalam hidupnya sempena menyambut Ramadan bertukar tragedi apabila dia dipercayai dipukau sebelum diliwat dan ditinggalkan berbogel dalam sebuah masjid di Sentul, di sini, pagi semalam.
Bagaimanapun, berkat doa imam masjid berkenaan dan bantuan penduduk sekitar, suspek yang melakukan perbuatan keji itu ditahan sebelum diserahkan kepada polis.
Semuanya bermula apabila mangsa berusia awal 20-an yang baru selesai menikmati juadah bersahur terlelap seketika dalam masjid berkenaan sementara menunggu masuk waktu Subuh.
Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, seorang lelaki berusia 39 tahun yang tidak dikenali mangsa masuk ke dalam masjid menyebabkan dia terkejut sebelum terjaga.
Namun, mangsa cuba melelapkan mata semula selepas suspek mendakwa mahu menunggu jemaah lain untuk mengerjakan solat Subuh secara berjemaah.






