Jenazah Mariam selamat dikebumikan

0

Category : Johor, umum

Mariam Johari, wanita yang meninggal dunia di Korea Selatan selepas terkandas di negara itu selama 64 tahun, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam, di sini, petang ini.

Jenazah warga emas berusia 88 tahun itu dikebumikan kira-kira jam enam petang dengan dihadiri kira-kira 50 orang termasuk anaknya, Ramlah Sonni, 74, Jelani, 72, adik bongsu Mariam, Iash Johari, 76.

Terdahulu, hujan lebat mengiringi ketibaan jenazah Mariam di Hospital Kota Tinggi kira-kira jam 3.40 petang untuk dimandi dan dikafan sebelum disembahyangkan di Masjid Jamek Kota Tinggi kira-kira jam 5.15 petang.

Mariam menghembuskan nafas terakhirnya di sebuah rumah kebajikan di Korea Selatan pada 5 September lalu akibat kegagalan buah pinggang.

Terdahulu, jenazah Mariam diterbangkan dari Seoul pada jam 8.50 malam semalam dengan pesawat Thai Airways melalui Bangkok dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12 tengah hari tadi.

Mariam atau nama Koreanya, Kim Soon Ae, yang dilahirkan di Plentong, Johor Baharu, terkandas di Korea Selatan selepas mengikuti Cho Se Won, seorang tentera kerahan Jepun. -bharian

Simpati nasib Mariam

0

Category : Johor, Macam-macam hal

SAYA tersentuh dengan cerita warga emas, Mariam Johari, 88, yang meninggal di Korea selepas terpisah lebih 60 tahun dengan keluarganya di Johor.

Mariam adalah mangsa kepada sistem, penderaan dan perang. Bukan kehendak beliau terus berada di Korea jika bukan kerana keadaan yang terlalu menekan. Ibu mana sanggup meninggalkan anak kecil jika bukan kerana terdesak.

Selepas lebih 60 tahun di negara orang, Mariam dipertemukan dengan keluarganya dalam suasana menyayat hati hasil usaha Korean Broadcasting Systems (KBS).

Hampir dua tahun pertemuan penuh makna itu, Mariam dijemput Penciptanya Sabtu lalu. Bagi saya yang bukan arif dalam agama, arwah masih Islam berdasarkan beliau mengingati cara mengucap dan membaca al-Fatihah, cuma keadaan tidak mengizinkannya mengamalkan Islam. Jenazahnya wajar dibawa pulang untuk dikebumikan secara Islam.

Persoalannya, mengapa kewarganegaraan Mariam dilucutkan selepas beberapa bulan beliau pulang ke Malaysia pada 2007. Ia menyukarkan penghantaran pulang jenazahnya. Saya berharap, kerajaan memberi kelonggaran kepada arwah, cukuplah ketika hidup menjadi mangsa kepada sistem, jangan pula selepas mati arwah disukarkan dengan sistem juga.

SIMPATI NASIB MARIAM,
Bharian
Kuala Lumpur.

Mariam disahkan islam

0

Category : Johor, Macam-macam hal

Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) mengesahkan Mariam Johari, 88, yang meninggal dunia di Seoul, Korea Selatan, Ahad lalu, masih beragama Islam.

Ini berdasarkan bacaan Fatihah dan pengucapan kalimah syahadah yang dilafazkan Mariam di hadapan dua anaknya, Jelani Sonni, 72, dan Ramlah, 73, ketika tiga beranak itu bertemu semula di Seoul pada Julai 2007 serta sewaktu warga emas yang menetap di Korea sejak 64 tahun lalu itu pulang ke Malaysia sebulan selepas itu.

Mariam juga menyatakan tidak pernah makan daging babi atau anjing.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan MAIJ, Yosree Ikhsan, berkata perkara itu jelas menunjukkan Mariam pada zahirnya seorang Islam dan MAIJ sedia mengebumikan jenazahnya mengikut syariat Islam.

Katanya, pihaknya dimaklumkan bahawa keadaan Mariam yang tertekan di Korea menyebabkan beliau tidak dapat melaksanakan ibadat seperti seorang Muslim.

Kita menganggap beliau seorang Islam yang sewajarnya dikebumikan cara Islam,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Sebelum ini, Wisma Putra cuba membawa pulang jenazah Mariam tetapi buntu apabila wanita itu disahkan bukan lagi warga Malaysia dan mewasiatkan supaya jenazahnya disemadikan mengikut adat masyarakat Korea.

Bagaimanapun, 10 dermawan Korea dilaporkan bersetuju menanggung kos menerbangkan jenazah Mariam supaya dapat dikebumikan di Malaysia.

Jenazah Mariam kini ditempatkan di Universiti Suwon, Seoul untuk proses pengawetan sebelum diterbangkan ke Malaysia.

Yosree menjelaskan tidak timbul lagi keraguan terhadap pengebumian Mariam kerana menjadi fardu kifayah bagi masyarakat setempat untuk menyempurnakan jenazahnya mengikut Islam.

“Dalam kes ini, menjadi tanggungjawab MAIJ sebagai pengurus kebajikan umat Islam setempat mengebumikan Mariam.

“Pengebumian akan disempurnakan di Kota Tinggi oleh Kadi Taufik Shamsuddin,” katanya.

Jelani ketika dihubungi pula berharap kebuntuan untuk membawa pulang dan mengebumikan jenazah ibunya akan berakhir secepat mungkin.

“Saya berdoa supaya perkara ini benar-benar terjadi,” katanya.

Penolong Kanan Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Cawangan Import Eksport, Ibu Pejabat KDRM, Ismail Abdul Rahman, pula berkata proses menuntut jenazah Mariam dijangka dapat dilakukan dalam masa singkat jika tiada masalah dalam proses dokumentasi sama ada di Korea Selatan mahupun di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, ia masih tertakluk kepada keputusan Kementerian Kesihatan yang akan menjalankan pemeriksaan ke atas mayat sejurus tiba di lapangan terbang.
-bharian-

Anak kecewa ibu wasiat dikebumi cara Kristian

0

Category : Apa dah jadi, Johor, Macam-macam hal, Mesti baca

KOTA TINGGI(bharian): “Saya terkilan mak buat wasiat hendak dikebumikan secara Kristian kerana kami langsung tidak tahu menahu mengenai wasiat itu,” kata Jelani Sonni selepas mendapat tahu ibunya, Mariam Johari, 88, rakyat Malaysia yang terkandas di Korea Selatan sejak 64 tahun lalu, meninggal dunia, malam kelmarin.

Jelani, 72, berkata beliau mendapat tahu berita kematian ibunya di sebuah rumah kebajikan di Seoul daripada anak saudaranya, Ahmad Onn, kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Katanya, beliau hanya tahu Mariam ada membuat wasiat sebelum menyambut Ramadan, tetapi tidak tahu kandungannya.

Mariam atau nama Koreanya, Kim Soon Ae meninggal dunia kira-kira jam 1.20 pagi waktu Korea Selatan (kira-kira jam 12.20 malam kelmarin waktu Malaysia) ketika tidur selepas kira-kira empat bulan tidak sihat.

Kisah Mariam mula mendapat perhatian apabila akhbar terbitan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) menyiarkan hasratnya untuk mencari tiga anaknya di Plentong, Johor, pada 23 Jun 2007.

Mariam yang dilahirkan di Plentong pada 16 Mac 1921, berkahwin dengan seorang jirannya ketika berusia 11 tahun pada 1932 dan melahirkan empat anak, namun anak keempatnya meninggal dunia beberapa bulan selepas dilahirkan.

>> LIHAT LANJUT

[ Online : 1018 hari. ]