KUALA LUMPUR: Percaturan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek untuk bertanding merebut jawatan nombor satu MCA ternyata tepat apabila diumumkan Presiden baru parti itu, mengalahkan dua bekas Presiden dalam pemilihan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA di sini, semalam. Dr Chua yang menduduki senarai teratas dengan majoriti 68 undi mendapat 901 undi, berbanding dua bekas Presiden, Tan Sri Ong Ka Ting yang memperoleh 833 undi, manakala Datuk Seri Ong Tee Keat, 578 undi.
Persaingan bagi jawatan Timbalan Presiden pula menyaksikan calon favourite, Datuk Seri Liong Tiong Lai mendapat kepercayaan perwakilan apabila memperoleh 1,171 undi sekali gus menyingkirkan pencabar tunggalnya yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Kong Cho Ha dengan majoriti 65 undi. Kong mendapat 1,106 undi.
Pengumuman keputusan pada kira-kira jam 6.50 petang itu melakar era baru kepemimpinan MCA apabila gabungan Dr Chua dan Liow akan bersama menerajui MCA sehingga tempoh penggal ini berakhir pada 2011.
Malah, kepemimpinan mereka akan menentukan hala tuju parti berkenaan terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Kemenangan Dr Chua mencatatkan sejarah peribadinya dalam politik apabila berjaya membuat ‘comeback’ walaupun menang tipis pada pertandingan tiga penjuru itu.






