Nafas atau mulut berbau (Halitosis) boleh disebabkan oleh masalah yang berpunca dari bahagian hidung, sinus, tekak, gigi, ruang mulut, paru-paru mahupun dari perut. Semua bahagian ini ada bersangkut-paut dengan ruang pernafasan.
AN telah membuat perkara yang betul iaitu membuat pemeriksaan gigi dan mengamalkan pembersihan oral yang memadai. Oleh kerana masalah halitosis itu berterusan, saya berpendapat masalah AN mungkin berpunca dari bahagian hidung ataupun sinus.
Sinus adalah ruang kosong di bahagian tengkorak yang berkomunikasi dengan ruang hidung. Apabila ruang sinus ini dijangkiti oleh kuman, kahak kuning atau kehijauan akan mengalir ke ruang hidung lalu menitis ke belakang tekak (post nasal drip).






