JOHOR BAHRU: Umpama hidup di neraka. Begitulah derita seorang anak kecil dianggap sebagai ‘pembawa sial’ sehingga dilayan umpama hamba abdi oleh bapa saudara termasuk dirantai seperti anjing, didera dan dipaksa makan nasi berlauk cili padi serta serbuk kunyit hampir setiap hari.
Lebih memilukan, akibat perbuatan zalim itu, kanak-kanak perempuan terbabit, S Thilagawati, 10, mengalami lebih lima kesan melecur di bahagian kiri dan kanan tangan, kesan tumbukan di muka, pergelangan tangan bengkak selain dipercayai mengalami keretakan tulang.
Penderitaan kanak-kanak perempuan itu bermula selepas ibu kandungnya melarikan diri bersama teman lelaki sejurus kematian bapanya mengakibatkan mangsa mendapatkan ihsan bapa saudaranya yang juga adik kandung ibunya.
Bagaimanapun, perbuatan kejam bapa saudara terbabit terbongkar pagi semalam apabila kanak-kanak itu membuka rantai berkenaan dan meminta bantuan keluarga jiran untuk menyelamatkan diri.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, bertindak berdasarkan maklumat orang ramai, beberapa anggota polis dari Balai Permas Jaya menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah teres di Jalan Permas 1/11, Taman Permas Jaya, dekat sini, kira-kira jam 10.30 pagi semalam.







