Pelanggan didapati tak sedar laman web bank dilayari palsu
KUALA LUMPUR: Sebanyak 446 daripada 1,329 kes pencerobohan internet yang dilaporkan pada suku pertama tahun ini membabitkan cubaan mencuri identiti pengguna internet, termasuk kata nama dan kata laluan akaun internet.
Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan Kawalan Mutu Cyber Security Malaysia, Dr Solahuddin Shamsuddin, berkata jumlah itu meningkat 52 peratus bagi tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 214 kes.
Beliau berkata, cubaan mencuri identiti pengguna internet itu berkaitan dengan pencerobohan maklumat akaun pelanggan bank, khasnya bagi mencuri kata nama atau ‘username’ dan kata laluan atau password’ rahsia.
“Penipuan berlaku apabila pelanggan bank tidak menyedari laman web bank yang mereka layari adalah palsu kerana memiliki ciri-ciri yang hampir sama dengan laman web asli.
“Apabila mereka memasukkan kata nama dan kata laluan pada laman web palsu, maklumat peribadi dan akaun mereka dapat dicuri oleh penggodam yang kemudian dimanipulasi untuk pelbagai tujuan penipuan termasuk mengeluarkan wang milik mangsa,” katanya ketika sesi bual bicara sempena pelancaran produk pelindung komputer Kapersky PURE, di sini semalam.
Kapersky PURE adalah produk yang berupaya melindungi komputer daripada pencerobohan dan gangguan termasuk antivirus, kawalan terhadap internet, aplikasi, kata laluan, kata kemasukan, maklumat peribadi dan sistem operasi.
Ketika ditemui selepas majlis itu, Solahuddin berkata, berdasarkan siasatan Siber Security Malaysia, laman web bank palsu yang dilayari mangsa itu berpangkalan di luar negara.






