BN Menang Parlimen Hulu Selangor

KUALA KUBU BARU: Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali kerusi P 094 Parlimen Hulu Selangor dengan majoriti lebih besar iaitu 1,725 undi berbanding 198 majoriti yang diperoleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum 2008lalu.
BN yang diwakili P. Kamalanathan memperoleh 24,997 undi, sekali gus menewaskan calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim yang memperoleh 23,272 undi.
Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahlan pada pukul 9.15 malam ini di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru.
Kawasan Parlimen Hulu Selangor mempunyai 64,500 pengundi dengan 34,020 atau 52.7 peratus terdiri daripada Melayu, 16,964 atau 26.3 peratus Cina, 12,453 atau 19.3 peratus India dan kira-kira 1,000 Orang Asli.

Hulu selanggor : Sedikit kecoh namun terkawal.

25/4/2010 1.00 pm : Kekecohan berlaku, kini di Sek. Keb. Sg. Rasa. Bermula apabila penyokong BN merentap bendera Keadilan selepas tidak berpuas hati dengan sorakan penyokong Pakatan Rakyat.

Pergaduhan kecil juga berlaku, namun suasana bagaimanapun kembali tenang selepas dileraikan pihak polis.
12.50 pm : Norasyikin Zakaria, 35, antara pengundi terawal pagi tadi memaklumkan berlaku kekecohan di tempat beliau mengundi di Sek Keb Bandar Baru Batang Kali, selepas seorang pengundi sebelumnya tidak berpuas hati kerana namanya hilang dari buku daftar pemilih.
Dalam semakan online sebelum itu, pengundi itu mendakwa namanya ada ada dalam daftar pemilih.
Dia kemudian berang, apabila aduannya didakwa tidak dilayan petugas SPR.
12.40 pm : Di Sek. Keb. Serendah, petugas sukarelawan PKR sangsi dengan penempatan berpuluh FRU dan anggota Polis di sini kerana sejak pagi tadi tiada suasana tegang tercetus di sini.
Mereka mendakwa kemungkinan kawalan ketat tersebut mempunyai agenda tertentu.

Bas bawa keluar ‘pengundi hantu’ dari IKBN?

HULU SELANGOR, 25 April: Beberapa bas telah membawa keluar penyokong Umno/BN dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pertak kira-kira jam 3.00 pagi tadi.

Bas yang sebahagiannya penuh dengan penumpang yang dipercayai ‘pengundi hantu’ itu berjaya disekat keluar dari IKBN oleh petugas Angkatan Muda Keadilan.

Keadaan menjadi kecoh dan hampir mencetuskan pergaduhan apabila penyokong Umno/BN tiba di kawasan itu, disusuli pasukan polis tidak lama kemudian.

Walaupun begitu, bas-bas berkenaan akhirnya bergerak keluar meninggalkan kawasan itu kira-kira jam 6.00 pagi dengan diiringi pihak polis ke destinasi yang tidak diketahui.

Harakahdaily difahamkan, selain bas, berbelas buah kereta juga digunakan untuk membawa ‘pengundi hantu’ dari IKBN.

Dipercayai, mereka dihantar ke beberapa daerah mengundi dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor yang sudah mulai dibuka sejak jam 8.00 pagi tadi.

Continue reading “Bas bawa keluar ‘pengundi hantu’ dari IKBN?”

5 aktivis AMK didakwa semula gara-gara pisau 20 sen

HULU SELANGOR, 23 April: Lima anggota Pemuda PKR pagi tadi dihadapkan semula ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baru kerana menurunkan billbord berunsur krontroversi dan fitnah angkara Umno/BN hanya menggunakan pisau lipat berharga 20 sen.

Faris Musa, salah seorang yang didakwa berkata, pendakwaan seolah-olah tidak berpuas hati dengan ketetapan Majistret Zuraidah Zakaria menolak dakwaan pasukan pendakwaraya yang mengatakan mereka yang terbabit membawa senjata berbahaya dan bahan letupan.

“Hari ini, kami diminta ke mahkamah semula untuk didakwa di bawah Syeksyen 427 Kanun Keseksaan di bawah Syeksen 6 (1) dan (Seksyen) 8 kerana membawa senjata bahaya dan letupan.

“Sebenarnya kami hanya bawa pisau lipat harganya 20 sen, mungkin sebab itu hakim Zuraidah Zakaria menolak dakwaan mereka,” kata beliau berseloroh sambil disambut dengan gelak ketawa para penyokong Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang lain di pekarangan mahkamah.

Beliau yang juga Timbalan Ketua AMK berkata, Polis sebenarnya merancang untuk mereman beliau dan empat aktivis AMK yang lain sehingga 25 April ini, iaitu pada Hari Mengundi.

Namun, timbalan pendakwa raya menolak inisatif Polis tersebut kerana dakwaan yang dikenakan ke atas mereka tidak setimpal dengan perbuatan mereka menurunkan beberapa billboard menggunakan hanya pisau lipat berharga 20 sen.

Continue reading “5 aktivis AMK didakwa semula gara-gara pisau 20 sen”

Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor 4 penjuru

HULU SELANGOR: Pilihan raya kecil Parlimen kerusi Hulu Selangor (P094) pada 25 April ini akan menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dua calon Bebas.
Ketua Penerangan MIC P Kamalanathan akan ditentang oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim, bekas Naib Pengerusi MIC Hulu Selangor V.S. Chandran dan Johan Mohd Diah, seorang peniaga.
Senarai calon yang bertanding itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Nor Hisham Ahmad Dahlan yang juga Pegawai Daerah Hulu Selangor di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru kira-kira 11.15 pagi.
Keempat-empat mereka menyerahkan borang pencalonan selepas pusat penamaan dibuka pada jam 9 pagi. Tiada bantahan semasa tempoh bantahan selama satu jam.
Zaid menyerahkan borang pada jam 9.06 pagi, diikuti Kamalanathan 9.30 pagi, Chandran empat minit kemudian dan Johan pada 9.36 pagi.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lalu. Kawasan itu mempunyai 64,500 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.
Pada pilihan raya umum Mac 2008, Dr Zainal menang dengan majoriti 198 undi menewaskan penyandangnya ketika itu Datuk G Palanivel yang kini Timbalan Presiden MIC.
Parlimen Hulu Selangor yang sebesar negeri Melaka itu terbahagi kepada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu N05 Hulu Bernam, N06 Kuala Kubu Baru dan N07 Batang Kali, yang ketiga-tiganya dikuasai BN.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai perarakan calon BN dari Pejabat UMNO Hulu Selangor.
Antara pemimpin parti-parti komponen BN yang turut hadir ialah Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Naib-naib presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Timbalan Pengerusi BN Selangor dan Pengarah Jentera Pilihan Raya kecil ini Datuk Seri Noh Omar dan ribuan penyokong.
Perarakan calon PKR diketuai Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang .
Proses pencalonan berjalan lancar dengan kawalan ketat lebih 1,000 anggota polis tetapi berlaku sedikit kekecohan apabila Samy, Mohd Shafie dan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Datuk R. Ganeson cedera ringan apabila terkena dawai berduri selepas terjatuh akibat diasak oleh penyokong-penyokong BN ketika hendak masuk ke pusat penamaan.
Kejadian itu berlaku kira-kira 9.25 pagi apabila polis hanya membenarkan 100 orang pemimpin dan penyokong setiap parti yang bertanding memasuki pusat penamaan.

Hulu Selangor panas

BUKIT BERUNTUNG: Bahang pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April ini bertambah hangat sehari menjelang penamaan calon, esok, yang dijangka menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya empat penjuru.

Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Ketua Penerangan MIC Pusat, P Kamalanathan, untuk merampas semula kerusi itu, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencalonkan, Datuk Zaid Ibrahim.

Setakat ini, seorang ahli perniagaan, Johan Mohd Diah dan bekas Timbalan Pengerusi MIC Bahagian Hulu Selangor, V S Chandran, turut menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Bebas.

Pilihan raya kecil kawasan itu diadakan selepas kerusi berkenaan kosong apabila penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR meninggal dunia pada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Sehingga petang kelmarin, 14 borang pencalonan sudah diedar dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) percaya ada calon Bebas akan turut bertanding pada pilihan raya itu.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Kamalanathan, 44, dipilih hasil perbincangan dan persetujuan semua pihak, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu. “Masa yang agak lama diambil untuk membuat keputusan berkaitan calon kerana pelbagai pihak ada pandangan masing-masing, tetapi akhirnya kita mencapai kata sepakat dan mengutamakan apa yang dimahukan rakyat.

“Kita dapat maklum balas pengundi dan mendalami isi hati mereka yang mahukan calon baru,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan calon BN di Markas BN di Bukit Sentosa di sini, petang semalam.

Turut hadir, Pengarah Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor, Datuk Seri Noh Omar, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta pemimpin BN termasuk parti komponen di Sabah dan Sarawak.

Continue reading “Hulu Selangor panas”

Najib masih berteka-teki

Muhyiddin ditugas umum calon BN di Hulu Selangor

KUALA KUBU BARU: Datuk Seri Najib Razak masih berteka-teki mengenai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, tetapi mengesahkan pengumuman nama calon akan dibuat Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN hanya mengesahkan beliau sudah berunding dengan semua pemimpin parti komponen, termasuk Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu berhubung soal calon bagi pilihan raya kecil 25 April itu.
Saya sudah berunding dengan banyak pihak, bukan dengan Samy saja. Apa pun perkara ini (nama calon) akan diumumkan oleh Timbalan Pengerusi BN kerana saya akan berada di luar negara. Saya sudah runding perkara ini (dengan Muhyiddin) dan dia tahu apa keputusannya. Apabila sampai masa, dia akan umumkan, katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan jentera pilihan raya BN Hulu Selangor, di sini, semalam.

Continue reading “Najib masih berteka-teki”

Cuba beli undi: MB S’gor bidas BN

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini membidas janji-janji pilihan raya yang ditaburkan oleh BN bagi merampas semula kerusi parlimen Hulu Selangor tetapi seringkali tidak mengotakannya.

“Jangan menipu rakyat Selangor. Penyanggak tidak ada urusan di negeri ini,” bidasnya.

Abdul Khalid, yang juga ketua PKR selangor mencabar BN untuk terus menaburkan lebih banyak janji kepada pengundi di Hulu Selangor menjelang hari pengundian 25 April ini.

“Kita alu-alukan RM2 juta yang mereka akan curahkan di kampung-kampung di Hulu Selangor. Lagipun duit itu adalah hak kita sebagai pembayar cukai. Saya juga cabar mereka untuk membina universiti di sini.

“Kerajaan negeri akan carikan tanah yang sesuai dan memberi kepada mereka dengan harga premium yang rendah. Mereka boleh namakan universiti apa-apa sahaja yang disukai, Universiti BN atau Universiti 1Malaysia…asalkan mereka mengotakan janji-janji mereka,” katanya selepas sesi turun padang di SKC Bernam, Hulu Selangor petang tadi.

PKR, katanya lagi akan menggunakan pendekatan mesra rakyat dalam kempennya untuk pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor ini.

Continue reading “Cuba beli undi: MB S’gor bidas BN”

Felda Hulu Selanggor pula dapat perumahan RM32 juta

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata, kerajaan telah bersetuju untuk membina sebuah lagi Projek Perumahan Warga Felda untuk Gugusan Sg. Dusun di daerah Hulu Selangor.

“Kerajaan sedar tentang keperluan dan permintaan generasi baru yang tinggal di dalam rancangan yang memerlukan rumah kediaman,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Kubu Baru hari ini.

Sebelum itu, Najib yang mempunyai jadual padat di Hulu Selangor hari ini telah merasmikan majlis pecah tanah tapak perumahan generasi kedua Felda di Felda Soeharto yang merupakan sebahagian daripada Gugusan Felda Sungai Dusun.

Dalam kenyataan itu, Najib berkata, projek yang akan dilaksanakan itu terletak di kawasan Felda Soeharto di kawasan seluas 14 hektar yang melibatkan pembinaan sebanyak 250 unit rumah dan menelan belanja kira-kira RM32 juta.

Najib berkata, rumah yang akan dibina ini adalah berkonsep mampu milik terdiri daripada rumah kos rendah dan kos sederhana rendah yang mempunyai tiga bilik.

Harga setiap unit ditetapkan RM42,000 bagi rumah kos rendah dan RM75,000 bagi rumah kos sederhana rendah

Continue reading “Felda Hulu Selanggor pula dapat perumahan RM32 juta”

Hulu Selanggor dapat empat sekolah baru

 Meskipun Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata lawatannya ke Hulu Selangor hari ini bukan untuk berkempen, namun kawasan parlimen itu dijanjikan empat buah sekolah baru.

 Berucap kepada 500 guru dari Hulu selangor yang dihimpunkan di Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor, Muhyiddin mengumumkan sebuah sekolah menengah dan tiga sekolah rendah akan dibina.

Dalam ucapan 30 minitnya itu, Muhyiddin, yang juga menteri pelajaran berkata guru berperanan membawa tahap pendidikan negara ke tahap antarabangsa.

Beliau juga menggunakan sessi soal jawab selama 15 minit untuk mengulangi janji kerajaan mengkaji keperluan guru dan pelajar.

 Bagaimanapun sebelum mengakhiri ucapannya, timbalan perdana menteri mengingatakan bahawa tarikh pilihan raya kecil Hulu Selangor telah diumumkan.

“Saya tidak akan berkempen hari ini tetapi saya akan datang kembali untuk berkempen pada masa yang lain.

“17 April adalah hari penamaan calon manakala 25 April pula adalah hari mengundi. Tandakan hari-hari dalam diari anda dan catatkan juga undilah Barisan Nasional,” katanya sambil berseloroh.

Continue reading “Hulu Selanggor dapat empat sekolah baru”