SEREMBAN: Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak pengakuan bersalah penganggur, Rasidi Ismail, atas tuduhan membunuh empat ahli keluarganya di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, awal Januari lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin, membuat keputusan itu kerana tertuduh membuat pengakuan tanpa mendapat khidmat nasihat peguam.
“Walaupun mengaku salah, mahkamah perlu berhati-hati untuk menerima pengakuan yang dibuat. Jadi kamu perlu melantik peguam untuk memberi khidmat nasihat dan mahkamah akan melihat sama ada terdapat keperluan untuk mendapatkan pemeriksaan mental,” katanya.
Ahmad Nasfy kemudian menetapkan sebutan semula kes itu pada 22 Mac ini, yang perlu dihadiri bersama peguam.
Rasidi, 32, yang sempat tersenyum ke arah ahli keluarganya sebelum masuk ke mahkamah, kelihatan tenang ketika pertuduhan itu dibacakan.
Tertuduh mengaku bersalah selepas jurubahasa mahkamah membacakan semua pertuduhan dan mengaku memahami hukuman yang bakal diterima. Rasidi didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mandatori gantung hingga mati.
Bagi tuduhan pertama, Rasidi didakwa membunuh adik perempuannya, Siti Khadijah Ismail, 22, di No 119, Kampung Batang Rokan, Gemencheh, antara jam 7 pagi hingga 11 pagi, 5 Januari lalu.







