SHAH ALAM: Pemandu teksi, Mohd Fazli Azri Jamil dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas didapati bersalah membunuh Syafiah Humaira Sahari, 4, Februari lalu, namun ibu kanak-kanak itu, Siti Nurhanim Aziz, 25, berkata dia tetap sayangkan Mohd Fazli Azri, yang juga teman lelakinya.
“Saya tak pernah marahkan dia (Mohd Fazli) sebab dia terlampau sayangkan anak saya, maka saya amat menyayanginya,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah. Malah, sebelum Mohd Fazli digari semula untuk dibawa ke penjara, dia dilihat sempat mencium pipi Siti Nurhanim.
Sebelum itu, hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki membuat keputusan itu terhadap Mohd Fazli yang menyambut hari ulang tahun kelahirannya ke-28 semalam selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pertuduhan.








