DARI BIDANG PENGANGKUTAN KE TOKOH KORPORAT
Pada tahun 80-an, Syed Mokhtar telah beralih ke bidang pengangkutan yang telah membawa tuah kepadanya sehingga menjadi seorang antara tokoh korporat bumiputera yang terkaya di Malaysia.
Karier perniagaannya mula dikenali pada awal 90-an di Johor semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Besar. Beliau yang amat meminati bidang pengurusan dan pembangunan pelabuhan adalah salah seorang manusia yang bertanggungjawab menjadikan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor menjadi terkenal di mata dunia dalam tempoh yang sebentar.
Tidak lama kemudian, Syed Mokhtar telah mengasaskan Yayasan (Islam) Al-Bukhary yang telah membina dan menguruskan Muzium Kesenian Islam bernilai RM70 juta di Kuala Lumpur selain banyak menjalankan kerja-kerja amal dan kebajikan terutamanya sekitar Negeri Kedah dan Perak.
Syed Mokhtar juga merupakan pemilik kepada Syarikat Gulf International Investment Group Capital (GIIG) yang mempunyai kepentingan dalam Projek Hidro Elektrik Bakun.
Di samping itu, beliau mempunyai kepentingan dalam beberapa buah firma terkenal Malaysia seperti Malaysia Mining Corporation Berhad (MMC), PERNAS, Padiberas Nasional Berhad, Malakoff Berhad, Seaport Terminal Johor Sdn. Bhd., Johor Port Berhad, Impian Teladan Sdn. Bhd., Indra Cita Sdn. Bhd. dan banyak lagi.
MMC telah bergabung dengan Gamuda Berhad dan berjaya mendapatkan projek landasan keretapi berkembar bernilai RM14.5 billion sebelum ia dibekukan oleh kerajaan kerana faktor pemulihan ekonomi. Syed Mokhtar juga dikatakan telah membeli kepentingan majoriti dalam Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor.
Nama Tan Sri Syed Mokhtar turut tersenarai dalam senarai ’40 Individu Paling Kaya di Malaysia Forbes Asia’ bagi tahun ini.
Syed Mokhtar dilaporkan mempunyai kekayaan AS$1.1 bilion (RM3.86 bilion). Meskipun susut dari AS$1.8 bilion (RM6.32 bilion) pada tahun lalu, beliau masih mengekalkan kedudukan di tempat ke-8 dalam senarai ’40 Individu Paling Kaya di Malaysia’ tahun ini.
Walaupun menjadi hartawan yang disegani, sifat rendah diri yang dimilikki beliau membuatnya tidak pernah lupa dan bersyukur akan nikmat Allah.
Malah, Syed Mokhtar mengingatkan supaya berhati-hati dengan nikmat yang Allah kurniakan.
“Kadang-kadang nikmat yang kita dapat boleh merosakkan kita. Kita kena kawal supaya nikmat tidak merosakkan kita. Yayasan Albukhary menjadi tempat untuk menempatkan lebihan yang boleh merosakkan diri kita,” pesan Syed Mokhtar.






