Penubuhan Yayasan AL-Bukhary
Matlamat penubuhan yayasan itu sebagai memenuhi impian orang tua, terutama ibu yang mendidik beliau mencari rezeki bukan saja untuk diri sendiri tapi membangunkan ummah dan membantu golongan miskin.
Walaupun tidak dapat peluang melanjutkan pelajaran, Syed Mokhtar sedar kejayaannya pada hari ini kerana berjaya dalam bidang perniagaan. Atas kesedaran ini, beliau terfikir untuk memberi budak kampung yang miskin dan kurang cerdik mengikuti tuisyen secara percuma.
Guru yang mengajar digajikan satu jam RM40 untuk ajar budak-budak dalam mata pelajaran Sains, Matematik dan subjek lain yang mereka tidak mahir. Pusat tuisyen sudah berjalan empat tahun dan 22,000 pelajar sudah mendapat manfaat untuk maju dalam pelajaran.
Bukan setakat itu saja, Syed Mokhtar turut menyediakan Biasiswa Albukhary kepada pelajar miskin yang cerdik daripada 47 negara yang umat Islamnya adalah kumpulan minoriti untuk melanjutkan pengajian pada peringkat universiti.
Biasiswa Albukhary, program pendidikan antarabangsa itu sudah berjasa kepada 372 pelajar yang ada antara mereka cemerlang di persada antarabangsa.
Selain bidang pendidikan, Yayasan Albukhary turut mengambil tanggungjawab membina masjid dan memastikan pengurusannya berjalan lancar. Setakat ini, yayasan itu sudah membina 20 masjid di bandar dan luar bandar di seluruh negara.
Ayah kepada empat orang anak ini mengambil inisiatif membaik pulih Masjid Negara yang menjadi satu daripada destinasi pelancongan negara supaya sentiasa terang dan bercahaya seperti cerahnya Muzium Kesenian Islam Malaysia yang didirikan yayasan, bersebelahan Masjid Negara.
Daripada muzium, masjid, perniagaan berkembang dan rezeki Syed Mokhtar bertambah. Berkat dengar nasihat ibu, setengah kena bagi balik, beliau mendapat keinsafan.
Keinsafan itu juga mendorongnya membina Kompleks Albukhary di Kedah yang menempatkan rumah anak yatim, hospital dan pusat dialisis yang semuanya diberi secara percuma kepada golongan kurang berkemampuan supaya mereka dapat hidup selesa.
Syed Mokhtar berkata, semua yang dilakukan datang daripada jiwa dan didikan asal ibu bapa, selain gerak hatinya, ikhlas kerana Allah.
Semua yang dilakukan dengan niat satu tujuan untuk membantu mereka yang memerlukan.
Atas inisiatif beliau juga, beliau memohon kuota haji untuk menghantar kumpulan yang difikirkannya sudah layak, tetapi tidak berkesempatan menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah kerana tidak mempunyai wang seperti imam, bilal dan siak masjid.
Hartawan berusia 58 tahun itu berkata, beliau tidak pernah melihat dirinya seorang yang kaya kerana prinsip beliau ialah manusia ini hamba Allah dan Allah Yang Maha Kaya. Segala usaha, pelbagai dugaan serta cabaran dilalui sejak lebih 40 tahun lalu baginya adalah rezeki Allah. Dan rezeki itu dikongsi bersama 67,700 tenaga kerjanya.
Bagi Syed Mokhtar, jika seseorang itu rajin berusaha, dengan izin Allah mereka akan berjaya. Jadi, jika sesiapa bertanyakan apakah resipi kejayaan, jawapannya ialah menggunakan nikmat Allah untuk faedah orang ramai terutama dalam pencarian ilmu.
Beliau pernah dipetik berkata, “Saya bersyukur saya sudah rasa semua nikmat Allah melainkan mati, belum rasa lagi. Saya sudah dapat lebih, apa lagi yang saya hendak. Jadi, apabila Allah beri, kita perlu gunakan nikmat itu untuk faedah orang ramai.
“Apabila melihat pertubuhan Kristian, Buddha dan wat Siam yang banyak di Kedah, saya terfikir kenapa kita orang Islam tidak boleh berkembang. Alhamdulillah, saya dapat buat semua dan berkembang seperti hari ini, walaupun terpaksa melalui pahit maung,” kata Syed Mokhtar.
Kini, Yayasan Albukhary yang diasaskan Syed Mokhtar berjaya memartabatkan Malaysia sebagai negara prihatin yang sentiasa membantu masyarakat dibelenggui kemiskinan, perang saudara dan bencana alam.